Cuaca baik, pelayaran misi flotilla hampir 300 batu nautika dari pantai Gaza

SHAH ALAM – Pelayaran misi kemanusiaan, Freedom Flotilla Coalition X Thousand Madleens to Gaza (FFCxTMTGM) kini dilaporkan berada kira-kira 300 batu nautika dari pantai Gaza dengan keadaan laut dan cuaca yang baik.
Ketua Delegasi Malaysia, Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali berkata, perjalanan lancar setakat ini walaupun kapal bergerak pada kelajuan sederhana sekitar empat hingga lima knot sejam.
“Tadi, kapten beritahu kita dah 350 batu nautika dari pantai Gaza. Tapi kami jalan perlahan dalam empat hingga lima knot sejam.
"Alhamdulillah, hari ini cuaca baik dan laut pun tenang. Semua peserta berada dalam keadaan baik,” katanya menerusi panggilan telefon yang dikongsikan oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) melalui hantaran di Facebook pada Ahad.
Beliau turut memaklumkan insiden kecil melibatkan pakar perbidanan dan sakit puan, Dr Fauziah Mohd Hassan yang terjatuh selepas kapal bergoyang pada malam sebelumnya, namun berada dalam keadaan stabil.
"Kapal semalam sedikit bergoyang. Dr Fauziah terjatuh kerana ketika itu dia pegang telefon dan tidak sempat berpaut. Kena sedikit di pipi tapi alhamdulillah tiada patah apa-apa, ” katanya.
Tambah beliau, seluruh pasukan berada dalam semangat tinggi dan berharap misi kemanusiaan itu dapat membuka mata dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin.
“Kita mohon doa semua agar misi Malaysia ini berjaya dan lebih ramai masyarakat dunia sedar tentang keadaan di Gaza. Mudah-mudahan akhirnya kita akan lihat Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berjaya, insya-ALLAH,” ujarnya.
Misi berkenaan yang membabitkan sembilan kapal termasuk kapal utama Conscience dan kapal pelayaran Umm Saad, dijangka memasuki zon merah dalam tiga hingga empat hari bergantung strategi pelayaran.
Misi kali ini memfokuskan penghantaran wartawan antarabangsa, pakar perubatan dan aktivis ke Gaza.
Kapal Conscience membawa bantuan perubatan dan makanan bayi bernilai RM500,000.
Kapal itu turut membawa 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam anggota Jawatankuasa Pemandu FFC.
Ringkasan AI
- Pelayaran misi kemanusiaan ke Gaza dilaporkan berada 300 batu nautika dari pantai Gaza dalam keadaan laut dan cuaca yang baik
- Kapal bergerak pada kelajuan sederhana empat hingga lima knot sejam
- Dr Fauziah Mohd Hassan terjatuh disebabkan kapal sedikit bergoyang tapi berada dalam keadaan stabil
- Misi ini berharap dapat membuka mata dunia terhadap penderitaan rakyat Palestin
- Kapal Conscience membawa bantuan perubatan dan makanan bayi bernilai RM500,000 termasuk 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, dan 21 pakar perubatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
