Anwar hubungi sembilan sukarelawan Malaysia terlibat gelombang ketiga Flotilla

Anwar.
Anwar.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghubungi sembilan rakyat Malaysia yang menyertai gelombang ketiga flotila kemanusiaan di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dalam usaha memecah sekatan haram Israel.

Menerusi perkongsian di Facebook, Perdana Menteri berkata, sembilan aktivis dan sukarelawan berkenaan berada di atas kapal Conscience dan TM Denmark Boat di tengah-tengah Laut Mediterranean dan kini memasuki zon kuning menuju ke Gaza.

Dalam panggilan video itu, Anwar menyuntik semangat dan mendoakan agar perjalanan para peserta misi ke Gaza dipermudah serta usaha kemanusiaan itu mencapai matlamatnya.

"Pengorbanan mereka dalam mengangkat prinsip kemanusiaan ialah contoh unggul buat seluruh rakyat Malaysia, khususnya generasi masa depan, tentang erti keberanian, tekad, dan solidariti yang tuntas dan tegas," kata beliau.

Pelayaran misi FFC dijangka memasuki zon kuning, iaitu 300 batu nautika dari pesisir Gaza dalam tempoh 24 jam, setakat petang ini.

Sembilan wakil Malaysia dalam misi FFC ialah Ketua Delegasi Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali; empat doktor, iaitu Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, dan Dr Maziah Muhammad; dua pensyarah Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar serta wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil.

Secara keseluruhan, misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.

Dalam panggilan video itu, Perdana Menteri turut memaklumkan situasi terkini mengenai 23 rakyat Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini dalam tahanan rejim Zionis.

Terdahulu, dalam siaran langsung menerusi Facebook hari ini, Anwar berkata 23 rakyat Malaysia yang ditahan sejak Khamis akan dibawa keluar dari Israel ke Istanbul hari ini dengan menggunakan pesawat khas milik Turkiye.

Artikel Berkaitan:

Beliau memaklumkan kesemua rakyat Malaysia itu sedang dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Ramon di Selatan Israel.

Kesemua sukarelawan Malaysia itu akan berada di Istanbul untuk tempoh sekurang-kurangnya sehari bagi pemeriksaan kesihatan akibat trauma dan tekanan daripada tindakan keras dan zalim Israel, sebelum berlepas pulang ke Malaysia. - Bernama

 

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan panggilan video dengan sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza
  • Sembilan aktivis dan sukarelawan tersebut sedang berada di atas kapal Conscience dan TM Denmark Boat di Laut Mediterranean menuju ke zon kuning Gaza
  • Anwar menyuntik semangat dan doa agar misi kemanusiaan ini berhasil
  • Misi ini melibatkan kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia
  • Dalam panggilan yang sama, Anwar memaklumkan tentang 23 rakyat Malaysia yang ditahan oleh rejim Zionis sekarang sedang dalam proses pemulangan ke Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!