[VIDEO] KPM jamin perkukuh aspek keselamatan pelajar dalam aktiviti sekolah

A
A
A

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan akan memperkukuhkan aspek keselamatan pelajar dalam setiap penganjuran aktiviti sukan selepas insiden seorang pelajar meninggal dunia ketika perlawanan ragbi, baru-baru ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM sebelum ini telah mengingatkan ibu bapa supaya memaklumkan keadaan kesihatan anak masing-masing bagi memastikan penyertaan mereka dalam aktiviti sukan berada dalam keadaan selamat.

“Sebenarnya dalam aspek kesihatan, anak-anak ini lebih awal kita telah ingatkan dan laporan itu kita minta daripada ibu bapa untuk dimaklumkan kepada kita,” katanya ketika ditemui pada Kempen Jelajah Anti Buli 2025 di Penanti di sini, Ahad.

Fadhlina berkata, tumpuan selepas ini akan diberikan kepada keselamatan menyeluruh meliputi jenis sukan, persiapan pasukan perubatan serta langkah keselamatan sepanjang pertandingan dijalankan.

“Tumpuan kita adalah soal keselamatan keseluruhan, bergantung kepada jenis sukan itu, selain memastikan pasukan perubatan sentiasa bersiap siaga dalam setiap perlawanan.

“Kita juga memperingatkan anak-anak dan jurulatih tentang kepentingan keselamatan yang perlu sentiasa diberi perhatian,” ujarnya.

Fadhlina ketika ditemubual pemberita pada Kempen Jelajah Anti Buli di Yayasan Aman hari ini. - Foto: Bernama
Fadhlina ketika ditemubual pemberita pada Kempen Jelajah Anti Buli di Yayasan Aman hari ini. - Foto: Bernama

Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden berkenaan serta memaklumkan bahawa pertandingan yang sedang berlangsung telah ditunda bagi memberi ruang kepada keluarga terlibat.

Artikel Berkaitan:

“Seperti yang telah diumumkan, kita batalkan dan tunda pertandingan ini bagi memberi penghormatan serta sokongan kepada keluarga.

“Insya-ALLAH, pertandingan akan disambung semula pada Januari akan datang,” katanya.

Sebelum ini, polis mengesahkan pendarahan dalaman akibat koyakan otot pinggul kanan dikenal pasti sebagai punca kematian seorang pelajar Sekolah Menengah Sains Johor ketika menyertai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh Peringkat Kebangsaan di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, pada Jumaat.

Mangsa, Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada jam 11.18 pagi selepas menerima rawatan kecemasan.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung kes kematian seorang murid lelaki Tahun Empat di sebuah sekolah rendah di Senawang pada Rabu lalu.

“Kita (KPM) masih lagi menunggu siasatan polis. Jadi, setakat ini itu dahulu kerana siasatan masih lagi dijalankan.

“Kita telah memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak polis dalam siasatan tersebut,” ujarnya.

Dalam kejadian pada Rabu, media melaporkan mangsa ditemui tidak sedarkan diri di tandas lelaki sebuah sekolah kebangsaan sebelum dibawa ke sebuah pusat perubatan swasta oleh guru disiplin.

Polis menerima maklumat mengenai kematian kanak-kanak itu pada jam 1.19 tengah hari ketika mangsa sedang menerima rawatan di klinik berkenaan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kes kematian murid tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan sementara menunggu hasil penuh bedah siasat.

Ringkasan AI

  • Kementerian Pendidikan Malaysia akan memperkukuhkan aspek keselamatan pelajar dalam aktiviti sukan
  • Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menyatakan kepentingan keselamatan secara menyeluruh termasuk jenis sukan dan pasukan perubatan
  • Terdapat insiden dimana seorang pelajar meninggal dunia ketika perlawanan ragbi
  • Pertandingan yang terlibat telah ditunda sebagai penghormatan kepada keluarga mangsa
  • Polis sedang menjalankan siasatan kes kematian seorang murid lelaki di Senawang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!