Murid Tahun Empat meninggal: Keluarga masih terkejut, JKM beri bantuan sokongan psikologi

Laporan Sinar Harian berhubung kes murid lelaki Tahun Empat disahkan meninggal selepas ditemui tidak sedarkan diri di sekolah. (Muhammad Yusry)
Laporan Sinar Harian berhubung kes murid lelaki Tahun Empat disahkan meninggal selepas ditemui tidak sedarkan diri di sekolah. (Muhammad Yusry)
A
A
A

SEREMBAN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan telah memberikan bantuan psikologi awal kepada keluarga kanak-kanak Tahun Empat yang ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah sebelum disahkan meninggal dunia, Rabu lalu.

Pengarahnya, Muhammad Yusry Che Dah berkata, pada sesi lawatan yang diadakan Khamis lalu, keluarga dilihat masih dalam keadaan terkejut dan sedih atas apa yang terjadi.

“Pegawai psikologi JKM telah pun menyantuni keluarga ini pada 2 Oktober lalu dan pendekatan bantuan psikologi awal telah digunakan bagi menyantuni keluarga ini.

“Kita dapati ibu bapa mangsa masih dalam keadaan terkejut dan seakan-akan tidak percaya dengan kehilangan anak mereka, namun emosi mereka dalam keadaan tenang dan terkawal,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Bagaimanapun, katanya, pegawai psikologi akan membuat lawatan susulan bagi memastikan keadaan emosi keluarga ini berada dalam keadaan baik.

Sebelum ini, media melaporkan mangsa berusia 10 tahun ditemui tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah dan polis mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan, iaitu buli melalui komunikasi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, tekanan pada leher disahkan sebagai punca kematian mangsa.

Beliau turut memaklumkan setakat ini, sebanyak 27 keterangan sudah dirakamkan dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan.

“Ia termasuk mengenal pasti punca tindakan sebelum kejadian, sehinggalah kepada siasatan ketika mangsa dijumpai tidak sedarkan diri dalam tandas.

Artikel Berkaitan:

“Polis menggesa diberikan ruang untuk menjalankan siasatan yang telus dan dilaksanakan dengan mengambil kira pematuhan terhadap sensitiviti kanak-kanak yang dilindungi bawah peruntukan undang-undang Akta Kanak-Kanak 2001 memandangkan siasatan juga membabitkan saksi kanak-kanak,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi tidak berasas berhubung kejadian yang boleh mengganggu proses siasatan.

Ringkasan AI

  • JKM Negeri Sembilan menyediakan bantuan awal psikologi kepada keluarga kanak-kanak yang meninggal di sekolah
  • Pegawai psikologi mengunjungi keluarga pada 2 Oktober dan menggunakan pendekatan bantuan psikologi awal
  • Ibu bapa mangsa dalam keadaan terkejut tapi emosi terkawal
  • Pegawai psikologi JKM akan membuat lawatan susulan
  • Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai buli melalui komunikasi dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!