KPM ambil tanggungjawab penuh tragedi pelajar ragbi maut

IPOH – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tanggungjawab penuh berhubung insiden kematian seorang pelajar ketika menyertai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di sini pada Jumaat.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kementerian amat sedih dan terkesan dengan tragedi tersebut serta memberikan sokongan sepenuhnya kepada keluarga, pihak sekolah dan pasukan yang terlibat.
Menurut beliau, pihaknya sangat menitikberatkan soal keselamatan pelajar dalam apa juga kejohanan yang dilangsungkan di peringkat kementerian.
“Setiap kali ada kejohanan, semua aspek keselamatan dan persiapan kecemasan telah diambil kira. Namun, kejadian seperti ini amat luar jangka dan tidak diduga.
“Sebab itu keputusan untuk membatalkan kejohanan amat penting sebagai tanda sokongan kepada keluarga,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyertai majlis bacaan Yasin dan tahlil pelajar yang meninggal dunia, Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, di Surau Al-Hamdaniah di STAR di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Fadhlina berkata, keputusan membatalkan kejohanan itu dibuat selepas mengambil kira semua keadaan semasa serta bagi memberi ruang kepada keluarga mangsa menempuh saat sukar tersebut.
Menurutnya, kejohanan berkenaan akan diteruskan semula pada 28 hingga 31 Januari tahun depan dan ketika ini semua pasukan akan pulang ke sekolah masing-masing.
“Bagi pihak KPM, kami menzahirkan rasa sedih yang amat mendalam. Ia memberikan kesan langsung kepada semua warga sekolah dan seluruh komuniti pendidikan.
“Kami memberikan sokongan penuh kepada keluarga dan sekolah, dan sebagai tanda hormat serta simpati, kami membuat keputusan untuk membatalkan semua pertandingan yang sedang berlangsung,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadhlina menjelaskan bahawa setakat ini tiada maklumat menunjukkan pelajar terbabit mempunyai masalah kesihatan sebelum kejadian.
Terdahulu, media melaporkan KPM mengambil keputusan membatalkan Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan SBP Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 selepas kejadian seorang murid yang menyertainya meninggal dunia secara mengejut pada Jumaat.
Berdasarkan laporan bedah siasat yang dimaklumkan pihak polis, mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalaman susulan koyakan otot pinggul kanan.
Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil tanggungjawab penuh atas kematian pelajar dalam Kejohanan Ragbi SBP di Sekolah Tuanku Abdul Rahman
- Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sedih dan memberi sokongan kepada keluarga dan pihak sekolah
- Keselamatan pelajar sangat dititikberatkan dalam setiap kejohanan
- Keputusan membatalkan kejohanan dibuat sebagai sokongan kepada keluarga mangsa
- Kejohanan akan diteruskan semula pada Januari tahun depan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

