Kes murid Tahun Empat: Polis ambil keterangan 35 individu

Laporan Sinar Harian mengenai kes murid lelaki tahun empat yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Senawang. (Gambar kecil: Alzafny)
Laporan Sinar Harian mengenai kes murid lelaki tahun empat yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Senawang. (Gambar kecil: Alzafny)
A
A
A

SEREMBAN - Polis mengambil keterangan 35 individu setakat ini berhubung kes murid lelaki tahun empat yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Senawang di sini, empat hari lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, mereka terdiri pelajar, guru, petugas sekolah serta doktor dan keluarga mangsa.

"Kita juga sedang mendapatkan beberapa laporan dan rekod daripada sekolah terbabit, forensik dan hospital. Dijangka dalam masa terdekat kertas siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Siasatan lanjut masih dijalankan ketika ini mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan buli dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas sehingga mengganggu proses siasatan,” katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.

Pada Rabu lepas, kanak-kanak berusia 10 tahun itu ditemukan tidak sedarkan diri dalam tandas sekolah terbabit sebelum disahkan meninggal dunia.

Alzafny sebelum ini dilaporkan berkata, bedah siasat di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau mendapati punca kematian kanak-kanak itu disebabkan tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut dilaporkan berkata, kementeriannya menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung kes itu kepada polis dan menegaskan ia akan dijalankan secara telus. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Polis mengambil keterangan 35 individu berhubung kes murid lelaki tahun empat ditemukan tidak sedarkan diri di Senawang
  • Individu yang diambil keterangan termasuk pelajar, guru, petugas sekolah, doktor dan keluarga mangsa
  • Siasatan mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan buli
  • Kanak-kanak berusia 10 tahun itu disahkan meninggal dunia akibat tekanan pada leher
  • Menteri Pendidikan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis dan menegaskan ia akan dijalankan secara telus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!