X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan Thailand tutup sementara pintu sempadan

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Thailand menutup semua sembilan pintu sempadan darat/air antara Thailand-Malaysia berkuat kuasa semalam sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan nanti.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Duta Besar Thailand ke Malaysia kepada Setiausaha Bahagian, Bahagian Asia Tenggara, penutupan pintu sempadan itu dilaksanakan di semua pintu-pintu sempadan Thailand dengan negara jiran seperti Malaysia, Laos, Kemboja dan Myanmar.

Katanya, sepanjang pelaksanaan penutupan sementara pintu-pintu sempadan itu, semua warganegara Thailand dan warganegara asing tidak dibenarkan untuk keluar atau masuk ke Thailand melalui semua pintu sempadan darat atau air.

"Rakyat Thailand di Malaysia yang ingin pulang ke negara tersebut hanya dibenarkan untuk menggunakan laluan udara sahaja.

"Warganegara Malaysia yang ingin pulang ke Malaysia juga hanya dibenarkan untuk menggunakan laluan udara sahaja," katanya.

Menurutnya, bagi pergerakan barang-barang pula, hanya satu pintu sempadan darat atau air di setiap wilayah bersempadan dengan Malaysia akan dibuka iaitu:

i. Wilayah Songkhla: Pintu Sempadan Sadao – Bukit Kayu Hitam (Kedah);

ii. Wilayah Narathiwat: Pintu Sempadan Sungai Golok – Rantau Panjang (Kelantan);

iii. Wilayah Satun: Pintu Sempadan Wang Prachan – Wang Kelian (Perlis);

iv. Wilayah Satun: Jeti Thammalang – Jeti Kuala Perlis (Perlis); dan

v. Wilayah Yala: Pintu Sempadan Betong – Pengkalan Hulu (Perak).

"Pergerakan barang-barang akan beroperasi seperti biasa dengan syarat-syarat tambahan iaitu hanya seorang pemandu (warganegara Malaysia) sahaja yang dibenarkan untuk satu kenderaan berat kecuali di pintu masuk Wilayah Satun (pemandu dan kelindan).

"Ia juga tertakluk kepada keputusan pemeriksaan kesihatan mandatori di pintu sempadan manakala untuk pergerakan barang menerusi Jeti Thammalang – Jeti Kuala Perlis, hanya lima orang kru dibenarkan untuk satu bot dan tertakluk kepada keputusan saringan kesihatan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin ketika dihubungi berkata, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung ditutup sepenuhnya mulai jam 6 pagi tadi.

Katanya, laluan itu ditutup kepada semua kenderaan kecuali kenderaan perdagangan yang membawa barangan keperluan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus