Mahasiswa PhD di Switzerland sanggup makan makanan kucing demi jimat

BERN – Seorang mahasiswa Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari China yang kini menetap di Switzerland mengakui makan makanan kucing sebagai sumber protein utama susulan kos sara hidup di negara itu tinggi.
Meiri Renwu yang menggunakan nama samaran 'The Artful Cheapskate', menjadi tular di media sosial kerana kisah hidupnya yang luar biasa dalam usaha menamatkan pengajian kedoktoran di salah sebuah institut penyelidikan ternama di Switzerland.
Renwu lulusan perubatan dari China berjaya menabung sebanyak 300,000 yuan (sekitar RM200,000) hasil kerjanya di Shanghai sebelum meneruskan pengajian PhD di luar negara.
Namun, kos sara hidup di Switzerland memaksa beliau mengamalkan kehidupan yang amat berjimat dengan perbelanjaan bulanan mencecah 1,000 hingga 1,500 franc Swiss (sekitar RM5,200–RM7,800).
“Saya melihat ramai pelajar PhD yang berhenti separuh jalan kerana tidak mampu menanggung kos hidup di sini.
"Saya tidak mahu menjadi salah seorang daripada mereka,” katanya.
Menyedari bahawa pelajar antarabangsa di Switzerland tidak dibenarkan bekerja secara sah, beliau merancang untuk hidup berjimat sejak awal lagi.
Dalam salah satu perkongsian yang menjadi tular, Renwu mendedahkan cara uniknya mengekalkan kesihatan dan kekuatan otot dengan memakan makanan kucing.
“Ramai yang terkejut dengan pilihan saya, tetapi saya sudah kira. Satu bungkus makanan kucing tiga kilogram (kg) hanya berharga 3.75 franc Swiss (sekitar RM19) dan mengandungi 32 peratus protein.
"Ia adalah pilihan paling berbaloi berbanding makanan lain yang saya temui di sini,” jelasnya.
Selain itu, beliau juga secara rutin mendermakan darah semata-mata untuk mendapatkan makan tengah hari percuma.
"Ia seperti bufet. Saya akan susun jadual pendermaan waktu tengah hari. Sup masih panas dan makanannya banyak,” ujarnya.
Usaha gigih Renwu akhirnya membuahkan hasil apabila beliau baru-baru ini menerima tawaran biasiswa dan akan meneruskan program lawatan akademik ke Harvard University, Amerika Syarikat.
Namun, beliau menegaskan akan terus mengekalkan gaya hidup jimat walaupun di sana.
Ringkasan AI
- Seorang mahasiswa PhD dari China di Switzerland makan makanan kucing karena kos sara hidup yang tinggi
- Meiri Renwu menjadi tular di media sosial dengan gaya hidupnya yang berjimat cermat
- Beliau menabung 300,000 yuan dari kerjanya di Shanghai sebelum belajar di luar negara
- Renwu memilih makanan kucing sebagai sumber protein murah dan efektif
- Menerima tawaran biasiswa ke Harvard University, namun akan terus hidup berjimat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

