Ismail Sabri fokus kerja kebajikan, belum putus hala tuju politik

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memilih untuk mengutamakan kerja-kerja kebajikan dan belum memutuskan hala tuju politiknya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.
Menurut beliau, fokusnya kini terarah kepada pengurusan kebajikan dan pendidikan anak-anak yatim piatu yang terkesan akibat pandemik Covid-19 lalu.
"Saya belum buat sebarang keputusan. Saya seronok dengan anak-anak yatim, mereka memerlukan perhatian termasuk anak yatim yang saya sendiri jaga.
"Politik bila-bila masa boleh berubah dan buat keputusan jadi, tunggu lah sekiranya dapat keputusan kita akan maklumkan," katanya ditemui pemberita selepas melancarkan Larian Keluarga Malaysia 2025 dan Sukarelawan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) serta pemberian Bantuan Menara Gading di Pickle Depot, Sentul pada Sabtu.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyampaikan bantuan Menara Gading kepada 10 penerima yang merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT).
Pengerusi YKM itu berkata, organisasinya yang ditubuhkan sejak empat tahun lalu telah membantu lebih 1,000 anak yatim piatu Covid-19 yang tinggal bersama keluarga yang berpendapatan rendah.
Tambah beliau, kebanyakan kanak-kanak ketika itu berdepan kekangan kewangan yang dibimbangi menjejaskan persekolahan untuk kelangsungan hidup.
"YKM adalah satu-satunya yayasan di dunia yang membela nasib anak-anak yatim Covid ini untuk meneruskan kehidupan mereka dengan lebih selesa sehingga mereka tamat belajar di Universiti.
"Penganjuran Larian Keluarga Malaysia (LKM) merupakan inisiatif kita untuk menambah dana. Kita tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada kerajaan dan menerusi larian ini bukan sahaja peserta dapat menyumbang malah syarikat korporat diharap memenuhi jiwa menyumbang kepada anak-anak ini," katanya.
LKM edisi kedua itu akan diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 15 November depan membabitkan tiga kategori iaitu Road Race sejauh 10 kilometer (km), Fun Run (5km) dan Family Run (3km).
Acara tahunan itu mengekalkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Duta LKM dan disokong selebriti tanah air, Amelia Henderson selain menawarkan hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah kereta jenis Perodua Axia dan motosikal Honda RS-X serta skuter elektrik, Felo M One.
Ringkasan AI
- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengutamakan kerja kebajikan dan belum tentukan hala tuju politiknya
- Fokus kepada pengurusan kebajikan dan pendidikan anak-anak yatim piatu yang terkesan oleh pandemik Covid-19
- Ismail Sabri menyampaikan bantuan Menara Gading kepada 10 pelajar cemerlang SPM untuk melanjutkan pelajaran ke IPT
- Yayasan Keluarga Malaysia membantu lebih 1,000 anak yatim piatu Covid-19 yang tinggal dengan keluarga berpendapatan rendah
- Larian Keluarga Malaysia ditubuhkan sebagai inisiatif mengumpul dana untuk yayasan, bukan mengharapkan dana dari kerajaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
