Perak dilanda banjir, 4 PPS dibuka di Taiping

TAIPING - Seramai 202 mangsa daripada 65 keluarga terpaksa dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Larut, Matang dan Selama selepas kediaman mereka dinaiki air malam tadi.
Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, sehingga jam 6 pagi tadi semua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang, SK Matang, SK Matang Gelugor dan Dewan Serbaguna Taman Kaya.
PPS SK Simpang menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 106 orang daripada 34 keluarga, manakala PPS SK Matang Gelugor menempatkan 46 mangsa daripada 13 keluarga.
Sementara itu, 31 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya dan 19 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS SK Matang.
Antara kawasan yang terjejas ialah Taman Pengkalan Makmur, Taman Pengkalan Setia, Kampung Sentosa, Taman Mawar, Taman Simpang Makmur, Kampung Matang Jambu serta Kampung Telok Kertang.
Agensi terlibat dalam operasi pemindahan termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).
Turut memberikan bantuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
Ringkasan AI
- Seramai 202 mangsa daripada 65 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara di daerah Larut, Matang dan Selama
- Mangsa dipindahkan akibat kediaman mereka dinaiki air
- PPS SK Simpang menempatkan jumlah mangsa paling ramai
- Kawasan terjejas termasuk Taman Pengkalan Makmur dan Kampung Matang Jambu
- Agensi terlibat dalam operasi pemindahan termasuk APM, JBPM, ATM, PDRM, dan PDT
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

