Jakarta dilanda banjir besar, hampir 10,000 penduduk dipindahkan

Penduduk cuba menyelamatkan harta benda daripada ditenggelami banjir yang melanda Jakarta akibat hujan lebat pada Ahad. Foto: AFP
Penduduk cuba menyelamatkan harta benda daripada ditenggelami banjir yang melanda Jakarta akibat hujan lebat pada Ahad. Foto: AFP
A
A
A

JAKARTA - Kawasan metropolitan Jakarta dilanda banjir pada Isnin malam menyebabkan hampir 10,000 penduduk dipindahkan susulan hujan lebat berterusan sejak Ahad, lapor Xinhua.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), seramai 9,947 penduduk di kawasan yang dikenali sebagai Jabodetabek (akronim dari Jakarta-Bogor-Depok-Tangerang-Bekasi) terjejas banjir dan dipindahkan dengan sejumlah 2,348 rumah dinaiki air.

Seorang penduduk Harmoko Hidayat, 58, melalui Isnin malam yang tidak dijangka dan meletihkan apabila terpaksa membersihkan lumpur tebal yang memenuhi hampir setiap ruang rumahnya di Pancoran, Jakarta Selatan.

"Ketinggian air mungkin lebih daripada satu meter. Saya sudah jangka akan berlaku banjir, tetapi tidak setinggi ini. Ada barang-barang saya yang tertimbus dalam lumpur,” katanya kepada agensi berita itu pada Selasa.

Menurut Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Jakarta, banjir telah menenggelamkan ratusan kawasan kejiranan dan beberapa jalan utama pada Isnin, dengan paras air di beberapa mukim melebihi 20 sentimeter,

Kira-kira 371 penduduk dari lima mukim Jakarta terpaksa berpindah ke pusat pemindahan yang disediakan.

Sebelum banjir berlaku, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) telah mengeluarkan amaran awal mengenai potensi banjir pesisir antara 4 hingga 13 Julai.

BMKG turut meramalkan hujan akan berterusan di kawasan metropolitan Jakarta dari Isnin hingga Rabu. - Bernama 

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!