Sekolah runtuh di Jawa Timur: 10 terkorban, operasi menyelamat diteruskan

JAKARTA - Pasukan penyelamat Indonesia menemukan lima lagi mayat daripada runtuhan bangunan pondok pengajian Islam Al Khozyni di Sidoarjo, Jawa Timur pada Jumaat, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 10 orang.
Bangunan empat tingkat itu runtuh pada Isnin petang ketika pekerja sedang menuang konkrit di tingkat atas, menyebabkan pelajar dan pekerja binaan tertimbus di bawah runtuhan.
Menurut Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), mayat mangsa dibawa ke Hospital Polis Bhayangkara di Surabaya untuk proses pengecaman.
"Sekurang-kurangnya 113 orang terjejas akibat runtuhan ini, dengan 103 masih hidup,” kata penyelaras misi SAR, Yudhi Bramantyo dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, seramai 23 orang berjaya dikeluarkan daripada runtuhan setakat ini dan operasi mencari serta menyelamat masih diteruskan.
Pasukan penyelamat terpaksa memecahkan dinding konkrit yang runtuh serta memotong besi untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap.
Sementara itu, seramai 54 orang masih hilang, menurut Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB). = Bernama
Ringkasan AI
- Pasukan penyelamat Indonesia menemukan lima lagi mayat dari runtuhan bangunan pondok pengajian Islam di Sidoarjo, jumlah korban menjadi 10 orang
- Bangunan empat tingkat runtuh ketika pekerja menuang konkrit, pelajar dan pekerja binaan tertimbus
- Mayat mangsa dibawa ke Hospital Polis Bhayangkara di Surabaya untuk pengecaman
- Seramai 113 orang terjejas, 103 selamat, 23 orang dikeluarkan dari runtuhan, operasi SAR berterusan
- 54 orang masih hilang menurut Agensi Pengurusan Bencana Nasional
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
