Bangunan sekolah agama di Indonesia runtuh, seorang maut, puluhan lagi terperangkap

JAKARTA - Pasukan penyelamat Indonesia pada Selasa berusaha mengesan puluhan pelajar yang dikhuatiri terperangkap selepas bangunan empat tingkat sebuah sekolah agama runtuh di Jawa Timur, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut manakala lebih 70 lagi cedera.
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Abdul Muhari berkata, seramai 38 orang masih hilang selepas Pondok Pesantren Al Khoziny di Kabupaten Sidoarjo - terkenal sebagai pusat melahirkan ulama sejak 1927 - runtuh pada petang Isnin ketika solat Asar.
Sehingga pagi Selasa, seramai 102 orang telah dipindahkan, dengan 91 berjaya menyelamatkan diri, manakala 11 lagi diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat. Seorang mangsa disahkan maut.
Sekurang-kurangnya 77 mangsa yang cedera dibawa ke hospital, dengan 34 dirawat di Hospital Sidoarjo, 38 di Hospital Siti Hajar dan empat di Hospital Delta Surya, katanya dalam satu kenyataan.
Pasukan penyelamat daripada Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), unit bencana daerah, polis, tentera dan sukarelawan dikerah ke lokasi, menggunakan jentera berat bagi membersihkan runtuhan.
Menurut Abdul Muhari, kejadian berlaku ketika pekerja sedang menuang bancuhan konkrit di tingkat paling atas.
"Ketika solat Asar sekitar 3 petang waktu tempatan, tiang asas dipercayai tidak mampu menampung beban, lalu menyebabkan keseluruhan struktur runtuh hingga ke tingkat bawah,” katanya.
Ketua sekolah pondok KH Abdus Salam Mujib berkata, bangunan yang runtuh itu baharu dibina kira-kira sembilan bulan lalu secara berperingkat dan belum siap sepenuhnya, dengan tingkat tiga baharu sahaja dibina untuk dijadikan dewan aktiviti pelajar.
Awal bulan ini, sebuah bangunan dua tingkat Madrasah Assoibiyah di Bogor, Jawa Barat, yang masih dalam pembinaan turut runtuh, mengorbankan empat orang dan mencederakan 84 yang lain. - Bernama
Ringkasan AI
- Pasukan penyelamat Indonesia mencari puluhan pelajar yang terperangkap dalam runtuhan sekolah pondok empat tingkat di Jawa Timur
- Seorang maut dan lebih 70 lagi cedera akibat runtuhan yang berlaku pada petang Isnin ketika solat Asar
- Seramai 38 orang masih hilang selepas kejadian di Pondok Pesantren Al Khoziny
- Sekurang-kurangnya 77 mangsa cedera dibawa ke hospital untuk rawatan
- Kejadian berlaku ketika pekerja menuang bancuhan konkrit di tingkat paling atas, menyebabkan struktur runtuh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
