Penyasaran subsidi bahan api tidak jejas subsidi asal dinikmati nelayan - LKIM

Muhammad Faiz (dua, kanan) menyampaikan replika cek bantuan sebanyak RM50,000 kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Muar, Mohd Nur Hakim Simon (dua, kiri) pada Majlis Ramah Mesra Madani bersama Nelayan Muar pada Jumaat. Foto Bernama
Muhammad Faiz (dua, kanan) menyampaikan replika cek bantuan sebanyak RM50,000 kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Muar, Mohd Nur Hakim Simon (dua, kiri) pada Majlis Ramah Mesra Madani bersama Nelayan Muar pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi bahan api tidak menjejaskan subsidi asal yang dinikmati kira-kira 112,000 nelayan berdaftar di seluruh negara ketika ini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, sebaliknya, golongan nelayan turut mendapat faedah tambahan menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) yang membantu mengurangkan kos perjalanan mereka untuk ke stesen minyak.

"Sebab bagi pemilik bot yang menggunakan enjin petrol, mereka perlu ke stesen minyak untuk membeli minyak. Jadi dengan penjimatan yang kerajaan lakukan hari ini pada harga RM1.99 seliter, ia mengurangkan kos operasi dan perjalanan nelayan itu sendiri. Ini sepatutnya meningkatkan produktiviti ataupun pengeluaran ikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Madani Pengerusi LKIM yang turut menyaksikan penyerahan dua unit set janakuasa kepada Persatuan Nelayan Muar menerusi Bantuan Geran Pembangunan dan Pemerkasaan pada Jumaat.

Ketika ini, pemilik bot berdaftar menerima manfaat Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan pada harga RM1.65 seliter selain Elaun Sara Hidup Nelayan berjumlah RM300 sebulan.

Sementara itu, beliau berkata, golongan nelayan digalak untuk menceburi bidang penternakan ikan, sama ada air tawar atau laut menerusi projek akuakultur yang kini menjadi cabang baharu dalam meningkatkan bekalan ikan.

"Hasil laut ini lama kelamaan makin berkurangan. Kebanyakan kawasan pesisir ketika ini terlibat dengan pembangunan yang melibatkan aktiviti tambak laut yang boleh menjejaskan kawasan tangkapan nelayan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Langkah kerajaan melaksanakan penyesaran subsidi bahan api tidak menjejaskan subsidi asal untuk nelayan berdaftar
  • Golongan nelayan mendapat faedah tambahan melalui inisiatif Budi Madani RON95 yang mengurangkan kos perjalanan
  • Penjimatan pada harga RM1.99 seliter bahan api meningkatkan produktiviti dan pengeluaran ikan
  • Pemilik bot berdaftar menerima Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan pada harga RM1.65 seliter dan Elaun Sara Hidup Nelayan RM300 sebulan
  • Nelayan digalak untuk menceburi bidang penternakan ikan menerusi projek akuakultur sebagai cara meningkatkan bekalan ikan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!