Kerajaan Terengganu tanggung subsidi air pengguna domestik RM24 juta setahun

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan menanggung subsidi air sebanyak 30 peratus bagi pengguna domestik band kedua (21 hingga 35 meter padu) dan 15 peratus bagi pengguna domestik band ketiga (melebihi 35 meter padu) berkuat kuasa November ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Zulkifli Ali berkata, pemberian subsidi itu akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM24 juta setahun.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu, setelah mengambil kira isu bebanan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.
"Setelah dibuat kajian serta pertimbangan daripada segala aspek, pengguna domestik bagi kategori band kedua berjumlah 78,807 akaun hanya perlu membayar 70 peratus daripada jumlah bil penggunaan.
"… manakala pengguna domestik kategori band ketiga berjumlah 94,610 akaun hanya perlu membayar 85 peratus daripada jumlah bil penggunaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Zulkifli berkata, langkah itu diharap dapat mewujudkan situasi menang-menang antara rakyat dan syarikat operator iaitu Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU).
"Semoga langkah kerajaan negeri dapat membantu mengurangkan bebanan para pengguna domestik, dan pada masa sama memastikan komitmen bekalan air yang stabil, berkualiti dan mampan kepada rakyat,” katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Kerajaan negeri Terengganu akan menanggung subsidi air bagi pengguna domestik mulai November
- Subsidi sebanyak 30% untuk pengguna band kedua dan 15% untuk pengguna band ketiga
- Implikasi kewangan subsidi ini adalah RM24 juta setahun
- Keputusan ini dibuat untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat
- Inisiatif ini diharap dapat mencipta situasi menang-menang antara rakyat dan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
