Tingkat disiplin diri, patuhi jarak sosial

Anggota ATM dan PDRM melakukan rondaan di sekitar kawasan perumahan flat Taman Desa Jati, Nilai bagi memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Foto: Bernama
Anggota ATM dan PDRM melakukan rondaan di sekitar kawasan perumahan flat Taman Desa Jati, Nilai bagi memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang memasuki hari keenam hari ini, orang ramai bukan sahaja perlu mematuhi nasihat untuk 'duduk di rumah', tetapi juga aspek jarakan sosial terutamanya ketika berada di tempat terbuka seperti pasar awam dan pasar raya bagi mengekang wabak koronavirus (Covid-19).

Berbaki lapan hari lagi tempoh kuarantin yang ditetapkan, rakyat Malaysia perlu lebih serius mendisiplinkan diri serta mematuhi setiap arahan agar membantu kerajaan menghentikan atau memutuskan sama sekali rantaian jangkitan Covid-19 daripada berpanjangan.

Meskipun Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kadar pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan itu adalah 90 peratus, namun baki 10 peratus itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan jumlah yang besar jika diambil kira 31 juta penduduk di negara ini.

Justeru, pelbagai usaha telah diambil termasuk menempatkan seramai 7,500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara setiap hari mulai semalam bagi membantu PDRM memantau orang ramai agar mengehadkan pergerakan masing-masing.

Selain itu juga, keadaan trafik dijangka terus terkawal terutamanya di bandar-bandar utama di seluruh negara dengan adanya penguatkuasaan seperti polis, tentera, Rela dan pihak berkuasa tempatan digerakkan bagi memantau keadaan pematuhan orang ramai.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan Titah Diraja menasihati rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan menerusi media sosial dengan memegang plakad kuning yang memaparkan tulisan #StayHome dan #DudukRumah bagi menyampaikan mesej berkenaan.

Kapsyen yang mengiringi gambar itu menyebut: "Kita akan melalui cabaran ini bersama sebagai rakyat Malaysia, sebagai satu negara. Marilah kita menjalankan tanggungjawab dengan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan untuk memastikan kita semua selamat.

"Sila duduk di rumah dan mainkan peranan masing-masing bagi membendung jangkitan wabak ini. Inilah masanya bagi kita untuk kekal kukuh dan tabah, menerusi catatan di laman Instagram rasmi Istana Negara (@istana_negara), semalam.

Artikel Berkaitan:

Ketika penularan jangkitan Covid-19 menjadi kebimbangan orang ramai, satu perkara yang perlu diberikan perhatian adalah berkenaan penutup hidung dan mulut.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, isu harga silingnya yang kini RM2 sekeping akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,

Sementara itu sebanyak 10 juta penutup mulut dan hidung yang akan dibawa masuk dari China adalah dibiayai oleh kerajaan dan ia akan diagihkan mengikut keutamaan iaitu kepada petugas barisan hadapan dan selebihnya diagihkan di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi. - Bernama