Kalau tak sayang nyawa, beri peluang orang lain

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

DALAM masa pantas, ribuan manusia daripada seluruh pelosok dunia dijangkiti koronavirus (Covid-19). Pada permulaan penyebaran virus baharu ini, ia hanya tertumpu di China.

Bagaimanapun, kini penularannya sukar dibendung daripada merentasi sempadan pelbagai negara.

Covid-19 meragut 12,725 nyawa di seluruh dunia, malah Itali yang paling terkesan dengan wabak itu merekodkan hampir 800 korban dalam tempoh sehari dan menjadikan jumlah yang dijangkiti melepasi 53,573 mangsa di negara itu.

Angka kes kematian itu adalah peningkatan terbesar dalam tempoh sehari sejak virus itu muncul di Itali bulan lalu dengan seramai 4,825 telah maut. Itali merekodkan jumlah korban mengatasi China pada Khamis lalu.

Sepanyol pula melaporkan peningkatan 32 peratus kes kematian baharu manakala jumlah kematian di Perancis meningkat sebanyak 112 kepada 562 kes.

Di Malaysia, setakat semalam dua lagi kematian direkodkan akibat Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat pandemik itu di negara ini ketika ini sebanyak sepuluh kes manakala jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini ialah 1,306 orang.

Kematian kesepuluh itu melibatkan seorang lelaki berumur 74 tahun daripada kluster tabligh. Kes ke-19 pula melibatkan lelaki berusia 48 tahun yang merupakan doktor perubatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Memandangkan penyakit itu begitu berbahaya, rakyat perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang telah diarahkan oleh kerajaan tanpa sebarang alasan.

Artikel Berkaitan:

Tujuan penguatkuasaan perintah tersebut tidak lain untuk menghentikan atau memutuskan sama sekali rangkaian jangkitan Covid-19 daripada berpanjangan atau menjadi semakin serius untuk membebaskan rakyat Malaysia daripada virus maut itu.

Tetapi masih ramai rupanya yang masih berdegil atau sengaja tidak faham dengan fenomena wabak yang sedang melanda dunia serta negara kita waktu ini.

Apa sebenarnya dalam fikiran mereka?

Bersifat degil dan ambil mudah tidak akan membantu kerana sikap ini akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat dan negara.

Kalau tak sayangkan nyawa sendiri, berilah peluang kepada orang lain untuk meneruskan kehidupan.