Malaysia dipilih semula ke Majlis ICAO bagi penggal 2025–2028

MALAYSIA Aviation Group, AirAsia dan Batik Air mewakili pengendali syarikat penerbangan utama negara merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Malaysia, Kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) atas kejayaan Malaysia dipilih semula ke Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) sebagai Ahli Bahagian III bagi penggal 2025–2028.
Undian yang berlangsung pada 30 September lalu sempena Sesi Ke-42 Perhimpunan Agung ICAO di Montreal, Kanada menyaksikan Malaysia memperoleh 154 undi sekali gus berada di kedudukan ketujuh daripada 14 kerusi Bahagian III yang menjadi rebutan.
Pencapaian membanggakan itu menandakan penggal ketujuh berturut-turut Malaysia dalam Majlis ICAO sejak 2007 sekali gus mencerminkan kepercayaan dan keyakinan berterusan masyarakat antarabangsa terhadap kepimpinan, kepakaran dan komitmen negara dalam memajukan penerbangan awam global.
Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, pemilihan semula Malaysia ke Majlis ICAO bagi penggal baharu mengesahkan kedudukan negara sebagai suara yang diyakini dan dihormati dalam membentuk agenda penerbangan global.
“Kejayaan ini mencerminkan keyakinan dunia terhadap kemampuan Malaysia memainkan peranan aktif dalam membimbing dasar dan memperkukuh kerjasama di peringkat tertinggi penerbangan awam.
“Malaysia Aviation Group akan terus menyokong mandat ini serta menyumbang kepada kerjasama global yang menekankan daya tahan, inovasi dan pertumbuhan mampan dalam penerbangan global,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menariknya, jumlah undi Malaysia meningkat daripada 136 undi pada pemilihan Majlis ICAO 2022 di mana negara berada di tangga ke-13 daripada 14 pencabar kerusi Bahagian III.
Hal ini mencerminkan keyakinan antarabangsa yang semakin meningkat. Ini juga merupakan jumlah undi tertinggi yang diterima Malaysia sejak 2013.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam, perjalanan kekal sebagai teras dalam menghubungkan ekonomi, perdagangan dan budaya di seluruh dunia dan mandat lebih kukuh yang diperoleh Malaysia dalam pemilihan ICAO mencerminkan keyakinan global yang semakin meningkat terhadap kepimpinan penerbangan negara.
“Bagi AirAsia, ia mengukuhkan lagi peranan dimainkan dalam menerajui perjalanan kos rendah serta meletakkan Kuala Lumpur sebagai LCC Megahub terkemuka dunia. Lebih penting lagi, ia menyerlahkan kemajuan Malaysia sebagai peneraju keterhubungan yang mampu milik, lestari dan inklusif.
“Bersama rakan-rakan kami dalam kerajaan dan industri, kami akan terus mempertingkatkan tindak balas Malaysia dalam membentuk masa depan penerbangan global,” jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, pemilihan semula Malaysia ke Majlis ICAO merupakan detik membanggakan serta satu pengiktirafan jelas terhadap kepimpinan dan kredibiliti negara kita dalam arena penerbangan global.
“Di Batik Air, kami berbesar hati memainkan peranan aktif dalam perjalanan ini dengan menghubungkan komuniti, memajukan piawaian industri serta menyampaikan perkhidmatan yang mencerminkan yang terbaik daripada Malaysia.
“Pencapaian ini bukan sahaja satu pengiktirafan terhadap pengaruh negara kita di pentas antarabangsa tetapi juga merupakan satu tanggungjawab bagi kita semua dalam sektor penerbangan untuk terus meningkatkan tahap keselamatan, inovasi dan kecemerlangan operasi,” ujarnya.
Pencapaian ini juga bukan sahaja mengiktiraf kredibiliti dan profesionalisme Malaysia dalam komuniti penerbangan antarabangsa malah turut memberi inspirasi kepada syarikat penerbangan negara, pengawal selia dan para pemegang taruh untuk terus menyampaikan kecemerlangan, keterhubungan serta inovasi, nilai-nilai yang mendefinisikan identiti penerbangan Malaysia.
Ringkasan AI
- Malaysia dipilih semula ke Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) sebagai Ahli Bahagian III bagi penggal 2025-2028
- Malaysia memperoleh 154 undi dan berada di kedudukan ketujuh daripada 14 kerusi Bahagian III
- Ini menandakan penggal ketujuh berturut-turut Malaysia dalam Majlis ICAO sejak 2007
- Jumlah undi Malaysia meningkat daripada 136 undi pada pemilihan sebelumnya, merupakan jumlah tertinggi sejak 2013
- Pemilihan semula ini mencerminkan keyakinan dan kepercayaan antarabangsa terhadap kepimpinan dan komitmen Malaysia dalam memajukan penerbangan awam global
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

