Covid-19: Hampir satu bilion individu berkurung di rumah

Bandar New York lengang selepas semua penduduknya diarahkan duduk di rumah sejak Jumaat lalu, - Foto Agensi
Bandar New York lengang selepas semua penduduknya diarahkan duduk di rumah sejak Jumaat lalu, - Foto Agensi
A
A
A

NEW YORK - Hampir satu bilion manusia di seluruh dunia berkurung di rumah mereka, semalam selepas angka kematian global akibat koronavirus (Covid-19) setakat ini mencecah 12,806 dan Amerika Syarikat melancarkan langkah kuarantin yang sebelum ini telah dilaksanakan di seluruh Eropah.

Pandemik itu menjejaskan sepenuhnya kehidupan di seluruh planet, menyekat pergerakan, menutup sekolah dan memaksa jutaan individu bekerja dari rumah.

Kira-kira 900 juta orang terpaksa berkurung di rumah mereka di 35 negara di serata dunia termasuk 600 juta orang yang diwajibkan menjalani perintah kuarantin oleh kerajaan.

Meskipun orang tua dan mereka yang mempunyai keadaan perubatan sedia ada adalah golongan paling teruk terjejas, namun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran orang muda turut berisiko.

"Hari ini saya ada mesej untuk golongan muda, anda tidak kebal. Virus itu boleh menyebabkan anda dimasukkan ke hospital selama beberapa minggu atau membunuh anda.

"Walaupun tidak sakit, pilihan yang anda buat tentang ke mana anda melangkah boleh menjadi perbezaan antara hidup dan mati orang lain," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Pada ketika ini, seluruh Eropah melaksanakan sekatan tegas seperti yang dilakukan China, terutamanya apabila negara Eropah kini menyumbang lebih separuh daripada kematian dunia akibat Covid-19. - AFP

Artikel Berkaitan: