Penahanan Global Sumud Flotilla: Pencabulan terhadap Konvensyen Geneva - Hamzah

SHAH ALAM - Tindakan Israel memintas Global Sumud Flotilla (GSF) dan menahan aktivis dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza merupakan jenayah serta pencabulan terhadap Konvensyen Geneva juga undang-undang maritim antarabangsa yang wajib dikutuk sekeras-kerasnya masyarakat dunia.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sikap biadab dan zalim rejim Zionis pimpinan Benjamin Netanyahu itu bukan sahaja merupakan suatu bentuk intimidasi terhadap aktivis flotilla dari seluruh dunia tetapi juga penghinaan ke atas usaha kemanusiaan global.
"Krisis Palestin ini adalah tragedi kemanusiaan terbesar zaman moden dan dunia perlu bersatu bagi menghentikan kezaliman ini dengan segera.
"Pada masa sama, jenayah kemanusiaan yang dilakukan ke atas umat Palestin ini mesti diadili di bawah undang-undang antarabangsa dan dihukum pelakunya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, rejim Israel memintas kapal GSF awal pagi Khamis dengan melakukan beberapa gangguan antaranya menyimbah cecair ke atas kapal dan menahan sukarelawan di perairan antarabangsa.
Seramai 10 rakyat Malaysia yang menyertai misi tersebut telah ditahan secara tidak sah oleh Israel.
Ia melibatkan Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil yang berada di atas Kapal Alma dipintas jam 9.44 malam waktu Gaza.
Dalam pada itu, Hamzah menegaskan, Perikatan Nasional (PN) berdiri teguh bersama-sama perjuangan suci rakyat Palestin.
"Kami menuntut kerajaan Malaysia bertindak lebih tegas bagi memastikan dunia Islam terutamanya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah, negara serantau melalui ASEAN serta Pergerakan Negara- Negara Berkecuali (NAM) menghukum Israel yang bukan lagi resolusi tanpa tindakan.
"Kerajaan juga perlu memastikan kumpulan aktivis rakyat Malaysia serta aktivis antarabangsa yang terlibat dalam misi flotilla ini dilindungi dan dapat kembali ke tanah air dengan selamat," katanya.
Ringkasan AI
- Israel memintas Global Sumud Flotilla dan menahan aktivis yang menghantar bantuan ke Gaza, melanggar Konvensyen Geneva dan undang-undang maritim antarabangsa
- Tindakan Israel dianggap sebagai bentuk intimidasi terhadap aktivis global dan penghinaan terhadap usaha kemanusiaan
- Krisis Palestin disebut sebagai tragedi kemanusiaan terbesar zaman moden, dengan seruan agar dunia bersatu menghentikan kezaliman
- Seramai 10 rakyat Malaysia yang menyertai misi tersebut ditahan secara tidak sah oleh Israel
- Perikatan Nasional menuntut kerajaan Malaysia bertindak tegas memastikan tindakan penghukuman terhadap Israel, dan perlindungan bagi aktivis Malaysia serta internasional
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

