'Kami terpelanting disembur air kuat sebelum ditahan' - Farah Lee

SHAH ALAM - Personaliti media sosial dan aktivis, Nurfarahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee mendedahkan detik mencemaskan ketika bot yang dinaikinya disekat oleh rejim Israel dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Menurutnya, rejim Israel menggunakan semburan air bertekanan tinggi sehingga menyebabkan semua sukarelawan di atas bot terpelanting.
"Israel sembur air yang sangat kuat sehingga kami semua yang berada di atas bot terpelanting. Mereka bagi amaran, sama ada belayar ke Israel atau patah balik.
"Kalau berdegil, ini amaran terakhir, dia akan apa-apakan kapal kami," katanya menerusi video terakhirnya yang dimuat naik di Instagram sebelum ditahan tentera Israel pada Khamis.
Video tersebut sempat dihantar oleh Farah kepada kumpulan Childrity, sebelum beliau terputus hubungan dan disahkan ditahan oleh tentera Israel.
Sebelum ini, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) pada Khamis jam 2.03 pagi waktu Malaysia, mengesahkan kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) telah dipintas oleh tentera Israel di perairan antarabangsa ketika konvoi itu menuju ke Gaza bagi misi kemanusiaan.
Kementerian Luar Negeri Israel dalam satu kenyataan telah menuduh konvoi tersebut adalah satu tindakan provokasi dan mengarahkan mereka mengubah haluan.
Farah Lee merupakan antara 12 sukarelawan Malaysia yang ditahan Israel selepas tindakan rejim Zionis itu memintas kapal misi berkenaan di Laut Mediterranean yang dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Farah Lee berada di atas kapal Grande Blu bersama Danish Nazran Murad, yang turut ditahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

