Global Sumud Flotilla: Kerajaan giat guna saluran diplomatik bebaskan sukarelawan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan sedang giat menggunakan saluran diplomatik bagi memastikan semua sukarelawan dan aktivis Malaysia serta ASEAN yang ditahan Israel dibebaskan dengan segera.
Menurut beliau, kerajaan sedang berhubung rapat dengan pihak berkepentingan bagi mempercepatkan proses pembebasan tahanan konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Saya dan pasukan sedang giat berhubung dengan pihak berkepentingan termasuk saluran diplomatik dalam usaha memastikan sukarelawan dan aktivis Malaysia, ASEAN dan antarabangsa dibebaskan dengan segera,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Setakat jam 11 pagi, 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF disahkan dipintas tentera Israel di perairan Gaza.
Mereka termasuk Musa Nuwayri, Ilya Balqis dan Sul Aidil yang berada di kapal Alma, serta Zizi Kirana di kapal Huga.
Selain itu, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli dan Rusydi berada di kapal Sirius, manakala, Danish, Farah Lee di kapal Grande Blue serta penyanyi, Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio.
Sementara itu, lima lagi dilaporkan terputus hubungan antaranya pendakwah bebas, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazman yang berada di kapal Estrella serta Ardell yang menaiki kapal Mikeno.
Anwar dalam masa sama menyampaikan pesanan kepada keluarga tahanan supaya terus diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi detik mencabar ini.
"Kepada ahli keluarga semua aktivis dan sukarelawan, semoga terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi detik mencabar ini.
"Perkembangan setiap proses menuju pembebasan akan dimaklumkan dari masa ke masa.
"Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa agar semua tahanan, khususnya warga Malaysia, berada dalam keadaan selamat dan terpelihara," katanya.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutamakan usaha diplomatik untuk pembebasan sukarelawan dan aktivis Malaysia serta ASEAN yang ditahan Israel
- Kerajaan berhubung rapat dengan pihak berkepentingan untuk mempercepatkan pembebasan tahanan konvoi Global Sumud Flotilla yang bawa bantuan kemanusiaan ke Gaza
- Sehingga kini, 12 rakyat Malaysia dalam GSF ditahan tentera Israel di perairan Gaza
- Lima lagi rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dalam misi yang sama
- Anwar menyampaikan pesanan ketabahan kepada keluarga tahanan dan berjanji akan memaklumkan perkembangan proses pembebasan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

