Larangan jualan vape: Antara kepentingan kesihatan, realiti ekonomi

Wujud kebimbangan bahawa pengharaman vape hanya akan menggalakkan pasaran gelap.
Wujud kebimbangan bahawa pengharaman vape hanya akan menggalakkan pasaran gelap.
A
A
A

KEPUTUSAN larangan penjualan rokok elektronik atau vape di Malaysia menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat, pemain industri dan pakar kesihatan awam.

Negeri Perak pada Rabu memutuskan larangan penjualan vape dilaksanakan Januari 2026 selepas enam negeri lain mengambil tindakan sama.

Isu berkenaan perlu dilihat daripada pelbagai sudut antaranya kesihatan, ekonomi, sosial dan perundangan bagi memahami secara menyeluruh implikasi inisiatif yang diambil.

Dari perspektif kesihatan awam, pengharaman penjualan vape dilihat selari dengan usaha kerajaan membanteras tabiat merokok yang menjadi punca utama penyakit tidak berjangkit seperti kanser paru-paru, penyakit jantung, dan strok.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan bahan kimia dalam cecair rokok elektronik boleh memberi kesan jangka panjang terhadap sistem pernafasan dan kardiovaskular.

Malah, penggunaan vape dalam kalangan remaja menimbulkan kebimbangan kerana ia berpotensi menjadi pintu masuk kepada ketagihan nikotin.

Dalam konteks ini, pengharaman dianggap langkah proaktif melindungi generasi muda daripada risiko kesihatan yang semakin serius.

Namun begitu, dari sudut ekonomi dan sosial, pengharaman penjualan vape bakal memberi kesan besar kepada ribuan pengusaha kedai vape serta pekerja dalam industri ini.

Sejak kemunculannya di Malaysia lebih sedekad lalu, industri vape berkembang pesat dan ia juga menyediakan peluang pekerjaan serta ruang keusahawanan bagi anak muda.

Artikel Berkaitan:

Pengharaman secara menyeluruh berisiko menjejaskan periuk nasi ramai pihak, sekali gus mencetuskan polemik antara matlamat kesihatan awam dan kepentingan ekonomi rakyat.

Selain itu, wujud kebimbangan bahawa pengharaman produk itu hanya akan menggalakkan pasaran gelap.

Pengalaman daripada beberapa negara lain antaranya Thailand dan Singapura menunjukkan larangan sepenuhnya terhadap vape tidak serta-merta menghentikan permintaan.

Sebaliknya, ia membuka ruang kepada aktiviti penyeludupan dan penjualan di pasaran gelap yang akhirnya lebih berbahaya kerana tiada kawalan kualiti ke atas produk.

Pengguna mungkin lebih terdedah kepada risiko keracunan bahan kimia selain kerajaan kehilangan hasil cukai yang sepatutnya boleh dijana.

Turut dibangkitkan Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA) yang mempersoalkan pengharaman produk telah diluluskan Kementerian Kesihatan.

Dari perspektif undang-undang, pengharaman tersebut menuntut penguatkuasaan tegas yang mana pihak berkuasa perlu memastikan mekanisme kawalan jelas, termasuk takrifan produk yang dilarang, denda dan hukuman setimpal, serta kerjasama dengan pihak kastam bagi mengelakkan kemasukan produk haram dari luar negara.

Langkah pengharaman perlu diiringi dengan kempen kesedaran berterusan mengenai bahaya nikotin dan produk tembakau alternatif.

Larangan penjualan vape di Malaysia adalah keputusan berani yang mencerminkan keutamaan kerajaan terhadap kesihatan awam khususnya dalam melindungi generasi muda.

Bagaimanapun, keberkesanan usaha itu bergantung kepada sejauh mana kerajaan mampu menyeimbangkan kepentingan kesihatan dengan realiti ekonomi dan sosial, selain memastikan penguatkuasaan serta pendidikan awam dilaksanakan secara menyeluruh.

Ringkasan AI

  • Keputusan larangan penjualan rokok elektronik atau vape di Malaysia menimbulkan pelbagai reaksi
  • Negeri Perak larang penjualan vape mulai Januari 2026, susulan enam negeri lain
  • Pengharaman bertujuan melindungi kesihatan awam daripada akibat buruk merokok
  • Larangan vape berpotensi memberi impak besar kepada industri vape dan peluang pekerjaan
  • Pengharaman boleh mendorong aktiviti pasar gelap dan melepas pendapatan cukai kerajaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!