Pengharaman jualan vape lindungi generasi muda

PADA Rabu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi jawapan bertulis Dewan Negara menyatakan penjualan rokok elektronik atau vape akan diharamkan sepenuhnya oleh kerajaan sebagai langkah membendung penyalahgunaan produk berkenaan.
Bagaimanapun beliau tidak memperincikan had masa ditetapkan bagi pelaksanaan pengharaman sepenuhnya penjualan produk tersebut.
Menurut Dzulkefly, ia akan dibuat secara berperingkat bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape sehingga meliputi keseluruhan produk.
Pengharaman jualan vape itu dilihat akan melindungi generasi muda daripada terdedah kepada ketagihan nikotin sejak usia awal sekali gus menghalang normalisasi budaya vape dalam masyarakat.
Selain itu, pengharaman diyakini dapat mengurangkan kos rawatan penyakit kronik berkaitan nikotin yang kini membebankan sistem kesihatan awam.
Usaha tersebut juga dilihat selari dengan aspirasi Dasar Penamat Generasi (GEG) bagi melahirkan generasi bebas rokok dan vape pada masa hadapan.
Dari sudut penguatkuasaan, pengharaman membolehkan pihak berkuasa bertindak lebih efektif ke atas pasaran gelap dan produk tiruan yang sering dipasarkan tanpa kawalan.
Ramai pengguna tidak menyedari sebahagian besar cecair vape dijual tanpa piawaian jelas, malah ada yang mengandungi logam berat dan bahan terlarang.
Dalam masa sama, langkah berkenaan dijangka mendorong peralihan ekonomi ke arah industri yang lebih sihat, berbanding bergantung pada keuntungan jangka pendek hasil jualan vape.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

