Isu Surau Al-Karamah sudah lama selesai, pihak luar cuba jadi batu api - Rosli

IPOH - Penduduk di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Pengkalan Pertama menegaskan isu perpindahan Surau Al-Karamah telah lama selesai dan menolak cubaan pihak luar yang cuba mengapi-apikan keadaan melalui dakwaan tidak tepat di media sosial.
Pengerusi surau, Rosli Mhd Daud berkata, penduduk setempat menerima baik pemindahan ke bangunan surau baharu yang lebih selesa dan mengimarahkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sejak ia dibuka.
“Tidak sepatutnya orang luar cuba mensensasikan perkara yang mereka dengar hanya daripada sebelah pihak, kemudian membuat kesimpulan yang tidak tepat.
“Sejak surau baharu dibina, semua aktiviti di sini semakin meriah termasuk sambutan keagamaan, kenegaraan dan jamuan Hari Raya yang dihadiri 300 hingga 400 orang," katanya kepada pemberita.
Rosli berkata, orang ramai diharap tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan kononnya surau lama dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan jalan raya kerana isu itu telah diselesaikan secara baik kira-kira empat tahun lalu dengan kelulusan Jawatankuasa Fatwa Negeri.
Beliau turut memaklumkan, penduduk kini menumpukan usaha untuk membina sebuah masjid baharu berhampiran surau tersebut dengan kutipan dana telah mencapai RM400,000.
“Kami juga sudah berjumpa dengan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, yang memberi respons positif. Kami dimaklumkan masjid ini antara empat projek masjid baharu yang berada dalam senarai perhatian kerajaan negeri," katanya.
Terdahulu seorang pengguna media sosial menerusi video pendek mendakwa Surau al-Karamah bakal dirobohkan oleh pemaju perumahan kerana ia bakal dibina jalan raya.
Pada April 2021, Sinar Harian melaporkan Jawatankuasa Surau Al-Karamah memohon campur tangan kerajaan negeri untuk menghalang tindakan merobohkan surau berkenaan.
Bantahan itu kemudiannya mendapat perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang memberi perkenan agar surau tersebut tidak dirobohkan sehingga surau baharu siap dibina.
Surau baharu telah siap dibangunkan tahun lalu dengan segala kelengkapan untuk kegunaan surau disediakan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Ringkasan AI
- Isu perpindahan Surau Al-Karamah telah selesai dan penduduk setempat menerima pemindahan ke surau baru
- Aktiviti kemasyarakatan menjadi lebih meriah di surau baru termasuk sambutan hari keagamaan dan jamuan Hari Raya
- Penduduk menolak dakwaan kononnya surau lama dirobohkan untuk pembinaan jalan raya, menyatakan isu ini sudah selesai dengan kelulusan Jawatankuasa Fatwa Negeri
- Penduduk kini fokus pada pembinaan masjid baru berhampiran surau dengan dana yang sudah terkumpul sebanyak RM400,000
- Surau baru telah dibangunkan dengan kelengkapan disediakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

