'Ibarat peluang kedua hidup' - Individu pertama jalani implan perentak jantung di HoSZA

Meriam (kanan) menunjukkan kesan parut implan perentak jantung yang dipasang suaminya ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Hulu Takir, Kuala Nerus, Terengganu.
Meriam (kanan) menunjukkan kesan parut implan perentak jantung yang dipasang suaminya ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Hulu Takir, Kuala Nerus, Terengganu.
A
A
A

KUALA NERUS – "Ramai kawan-kawan seusia sudah pergi, saya tak sangka masih diberi peluang kedua untuk hidup."

Demikian luahan pesara Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Abd Rahman Muda, 77, yang merupakan individu pertama menjalani implan perentak jantung (pacemaker) di Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), pada September lalu.

Menurut Abd Rahman, beliau mengalami masalah jantung mengejut pada 22 Julai lalu ketika ingin menunaikan solat Jumaat.

"Ketika ingin keluar untuk tunai solat Jumaat, saya tiba-tiba berpeluh, lenguh badan serta alami keletihan luar biasa.

Abd Rahman menunjukkan gambarnya sebaik selesai menjalani implan perentak jantung (pacemaker) di Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) pada September lalu.
Abd Rahman menunjukkan gambarnya sebaik selesai menjalani implan perentak jantung (pacemaker) di Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) pada September lalu.

"Saya kemudian dibawa ke hospital dan dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) kerana disahkan mengalami serangan jantung ringan serta nadi rendah.

"Doktor kemudian mencadangkan pemasangan pacemaker sebagai rawatan alternatif.

"Selepas berbincang dengan keluarga, saya memilih pacemaker satu kabel berharga RM9,350 di mana prosedur pemasangan dilakukan pada 7 September lalu," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Hulu Takir, Seberang Takir di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Abd Rahman berkata, prosedur yang dijalankan hanya mengambil masa kira-kira dua jam dengan enam jahitan kecil.

Jelasnya, beliau difahamkan alat yang dipasang itu mampu bertahan sehingga 15 tahun.

"Dalam tempoh tiga bulan pertama ini doktor menasihati supaya saya berhati-hati dalam setiap pergerakan selain menjalani pemeriksaan susulan secara berkala setiap bulan.

"Selepas jalani pembedahan, keadaan saya kini semakin stabil dan bertenaga.

"Saya amat bersyukur kerana masih dikurniakan nikmat kesihatan," ujarnya.

Abd Rahman yang berkhidmat lebih 33 tahun sebagai kapten kapal di UMT sebelum bersara pada 2005 berkata, keupayaan HoSZA melaksanakan prosedur itu membuktikan rakyat Terengganu tidak lagi perlu ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan jantung berteknologi tinggi.

Sementara itu, isterinya, Meriam Che Awang, 75, melahirkan rasa lega melihat perubahan positif suaminya yang kini semakin berselera makan dan pulih dengan baik.

"Syukur alhamdulillah, keadaan dia makin baik.

"Kami sekeluarga rasa tenang kerana rawatan ini dapat dilakukan di Terengganu sendiri tanpa perlu ke Kuala Lumpur," katanya yang dikurniakan enam anak serta 22 cucu.

Sebelum ini, HoSZA mencatat sejarah apabila berjaya melaksanakan prosedur implan perentak jantung kali pertama pada September lalu.

Prosedur dijalankan di Invasive Cardiac Laboratory (ICL) hospital berkenaan diketuai Pakar Perunding Kardiologi (Pakar Pelawat) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Ahmad Wazi Ramli.

Kejayaan itu sekali gus menjadi penanda aras baharu dalam bidang kardiologi di Terengganu apabila pesakit boleh mendapatkan rawatan jantung berteknologi tinggi tanpa perlu lagi ke IJN.

 

 

Ringkasan AI

  • Abd Rahman Muda, pesara Universiti Malaysia Terengganu berumur 77 tahun, merupakan individu pertama menjalani implan perentak jantung di Hospital Sultan Zainal Abidin
  • Beliau mengalami serangan jantung ringan dan nadi rendah, dan memilih pemasangan pacemaker satu kabel berharga RM9,350
  • Prosedur pemasangan pacemaker hanya mengambil masa kira-kira dua jam dengan enam jahitan kecil dan alat tersebut mampu bertahan sehingga 15 tahun
  • Abd Rahman menasihati untuk berhati-hati dalam setiap pergerakan dan menjalani pemeriksaan susulan secara berkala selepas pemasangan
  • Pemasangan pacemaker ini menandakan rakyat Terengganu tidak perlu ke Institut Jantung Negara untuk rawatan jantung berteknologi tinggi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!