Gempa kuat landa Filipina tengah, sebabkan kerosakan

MANILA - Gempa bumi luar pesisir dengan magnitud awal 6.7 menggegarkan wilayah Cebu di Filipina tengah pada malam Selasa, menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs), lapor Xinhua.
Dalam satu laporan, institut itu menyatakan gempa yang berlaku pada jam 9.59 malam waktu tempatan itu berpusat pada kedalaman 10 kilometer (km), kira-kira 17 km timur laut Bogo City.
Gegaran turut dirasai di wilayah Northern Samar, Bohol dan Sorsogon, serta di wilayah berhampiran Filipina tengah.
Bagaimanapun, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Institut itu berkata gempa tektonik tersebut akan mencetuskan gegaran susulan dan boleh menyebabkan kerosakan besar.
Pengarah Phivolcs, Teresito Bacolcol memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi pantai kerana kemungkinan berlaku gangguan kecil paras laut.
Bacolcol berkata, pihaknya menerima laporan bahawa bahagian atas sebuah gereja lama telah runtuh, selain beberapa kawasan mengalami gangguan bekalan elektrik selepas gempa kuat itu.
Filipina yang terdiri daripada kepulauan kerap mengalami aktiviti seismik kerana kedudukannya di sepanjang "Lingkaran Api” Pasifik. - Bernama
Ringkasan AI
- Gempa bumi luar pesisir magnitud 6.7 menggegarkan Cebu, Filipina tengah pada malam Selasa
- Gempa berpusat pada kedalaman 10 kilometer di timur laut Bogo City
- Gegaran turut dirasai di wilayah Northern Samar, Bohol, dan Sorsogon
- Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini
- Institut memperingatkan tentang kemungkinan gegaran susulan dan gangguan kecil paras laut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
