ASWARA rai rakan media, rakan strategik hargai sumbangan seni budaya

Shaharudrin (tengah) diiringi Tan menyerahkan penghargaan kepada Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah (kiri)
Shaharudrin (tengah) diiringi Tan menyerahkan penghargaan kepada Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah (kiri)
A
A
A

KUALA LUMPUR – Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) meraikan rakan media dan rakan strategik menerusi Majlis Secangkir Kasih ASWARA 2025: Jasa Berakar, Budi Berbunga yang berlangsung di The Roomah, Publika di sini pada Selasa.

 

Majlis berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan dan apresiasi ASWARA kepada pihak media serta rakan strategik yang banyak memberikan sokongan dalam mempromosikan pelbagai program seni, budaya dan warisan.

Rektor ASWARA, Profesor Dr Tan Awang Besar ketika berucap menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam memperkukuh kedudukan seni, budaya dan warisan negara.

Beliau turut menekankan komitmen ASWARA menyumbang kepada agenda nasional termasuk Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui program utama seperti International Folk Dance Festival 2025 (Tari’25), Teater Muzikal Paduka Srikandi Cik Siti Wan Kembang, Festival Titih Pusaka serta kerjasama bersama Orkestra Tradisional Malaysia dan Istana Budaya.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot yang turut dihadiri barisan kepimpinan MOTAC, Ketua-Ketua Pengarah Jabatan dan Agensi, Ahli Lembaga Pengarah ASWARA, dekan-dekan serta ketua bahagian ASWARA.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepentingan seni, budaya dan warisan dalam membina jati diri negara selain memuji peranan ASWARA sebagai pusat kecemerlangan (Centre of Excellence) dalam melahirkan insan seni yang ‘cakna tradisi’.

Antara pengamal media dan wakil syarikat penerbitan berita yang hadir pada majlis ASWARA di ibu negara pada Selasa
Antara pengamal media dan wakil syarikat penerbitan berita yang hadir pada majlis ASWARA di ibu negara pada Selasa

Artikel Berkaitan:

Shaharuddin turut menggesa lebih banyak pihak kerajaan, swasta dan komuniti kreatif memperluas kolaborasi dengan ASWARA bagi menghasilkan inisiatif berimpak tinggi selaras aspirasi Malaysia Madani.

Majlis diserikan dengan persembahan Tari’25 serta pratayang Teater Muzikal Paduka Srikandi Cik Siti Wan Kembang itu menyaksikan penghargaan khas disampaikan kepada rakan media dan rakan strategik sebagai simbolik apresiasi sokongan padu yang diberikan.

ASWARA menegaskan majlis tersebut bukan sekadar acara penghargaan, sebaliknya menjadi wadah mengukuhkan hubungan strategik bersama rakan media dan rakan kerjasama dalam memperkukuh ekosistem seni budaya serta warisan negara.

Usaha itu juga seiring dengan visi Malaysia Madani yang mahu membina negara progresif berteraskan nilai ihsan dan berdaya saing di peringkat global, namun tetap berakar pada warisan budaya bangsa.

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!