X

Kindly register in order to view this article
!

Hantar bekalan perubatan jadi keutamaan Teleport

Teleport yang dimiliki sepenuhnya oleh AirAsia Group Bhd bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan Kumpulan AirAsia bagi memenuhi keperluan logistik di rantau ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Penghantaran bantuan perubatan serta peralatan perlindungan kepada hospital atau responden kecemasan barisan depan menjadi keutamaan Teleport yang juga platform logistik dan kargo AirAsia.

Ini memandangkan Malaysia dan negara lain sedang mengenakan sekatan perjalanan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak.

Walaupun Teleport masih beroperasi seperti biasa, syarikat logistik itu turut mempunyai keutamaan terutama dalam tempoh yang sukar ini.

“Bekalan perubatan semakin berkurangan di seluruh dunia dan kami mahu memastikan ia dihantar kepada kakitangan barisan depan di rantau ini kerana mereka amat memerlukannya.

“Fokus kami adalah untuk melaksanakan bahagian kolektif kami bagi meminimumkan kesan penyebaran pandemik koronavirus (Covid-19) terutama yang membabitkan petugas barisan depan yang berhadapan dengan kekurangan kritikal peralatan perubatan sekarang ini," katanya dalam satu kenyataan.

Pete berkata, dalam keadaan ketidakpastian ini, Teleport kekal kritikal kepada rantaian penyampaian bekalan serantau, peningkatan permintaan e-dagang dan perkhidmatan penting lain.

“Matlamat kami adalah untuk kekal dalam teras rangkaian domestik dan antarabangsa kami dengan mengangkut kargo hanya melalui pesawat penumpang supaya kami dapat menampung keperluan kargo dan e-dagang. Kami mahu memainkan peranan kami," katanya.

Teleport yang dimiliki sepenuhnya oleh AirAsia Group Bhd bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan Kumpulan AirAsia bagi memenuhi keperluan logistik di rantau ini.

"Di samping rangkaian domestik merentasi rantau, kami berharap dapat mengekalkan hubungan teras antarabangsa utama dalam Asean termasuk ke bandar-bandar tertentu di China, Korea Selatan, Jepun dan Australia.

"Di samping itu peningkatan penghantaran bungkusan kami akan terus menjangkau pelanggan di 10 bandar raya dan tiga negara," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus