Kebajikan veteran tentera sama rata, jadi keutamaan ATM

Mohamad Noorlizam (kiri) ketika menyantuni Azlan Laftib (empat dari kiri) di Pusasda,Port Dickson.
Mohamad Noorlizam (kiri) ketika menyantuni Azlan Laftib (empat dari kiri) di Pusasda,Port Dickson.
A
A
A

PORT DICKSON - Berpencen atau tidak berpencen, kebajikan veteran tentera adalah sama rata dan terus menjadi keutamaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Panglima Markas Briged Pertama Infantri, Brigadier Jeneral Mohamad Noorlizam Shamsuddin berkata, bagi memudahkan urusan tersebut mereka disarankan untuk mendaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM).

"Ada veteran yang tidak berpencen berpandangan mereka tidak layak mendapat bantuan sepenuhnya daripada persatuan, sebenarnya tidak. Kami daripada pihak ATM khususnya JHEV memberi bantuan kepada semua pihak.

"Selagi mereka pernah berkhidmat sebagai tentera dan kita akan bagi bantuan," katanya selepas selesai lawatan kebajikan di sini pada Sabtu.

Mohamad Noorlizam (dua dari kanan) ketika menyantuni Shah Aminudin (tiga dari kanan), turut kelihatan Tu Hairudin (kiri).
Mohamad Noorlizam (dua dari kanan) ketika menyantuni Shah Aminudin (tiga dari kanan), turut kelihatan Tu Hairudin (kiri).

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini di Negeri Sembilan terdapat kira-kira 16,800 veteran tentera yang telah berdaftar dalam PVATM.

Bagaimanapun beliau percaya masih ada lagi veteran tentera terutamanya yang tidak berpencen tidak berbuat demikian.

"Berdasarkan pemerhatian saya, veteran yang berusia atau tidak berpencen kebanyakannya yang tidak berdaftar ini iaitu veteran yang berhenti awal daripada perkhidmatan.

"Justeru, saya gunakan konsep turun padang dan mudahlah untuk kita mendapat maklumat kenapa mereka masih lagi belum berdaftar," katanya.

Sementara itu, dalam lawatan berkenaan, Mohamad Noorlizam menyantuni anggota dan veteran yang mengalami masalah kesihatan.

Mereka merupakan Sarjan Azlan Laftib yang masih berkhidmat dalam ATM, menghidap kanser usus tahap tiga dan Pegawai Waran 1 (B), Shah Aminudin Sharani yang menghidap angin ahmar.