Belanjawan 2026: MADA mohon RM48 juta selenggara sistem pengairan dan infrastruktur

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berharap kerajaan meluluskan permohonan peruntukan penyelenggaraan sistem pengairan dan infrastruktur berjumlah hampir RM48 juta dalam Belanjawan 2026.
Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, permohonan tersebut telah dikemukakan dan peruntukan berkenaan wajar diberikan keutamaan bagi melancarkan sistem pengairan sawah padi selain mengelak berlakunya banjir yang memusnahkan tanaman padi.
Menurutnya, kerja penyelenggaraan tali air dan sistem pengairan perlu dilakukan sekurang-kurangnya empat kali setahun membabitkan 44 blok lama serta blok baharu yang sedang dibangunkan agensi itu.
“Peruntukan ini amat diperlukan untuk menguruskan infrastruktur termasuk kerja pembersihan tali air serta pengurusan sistem pengairan di seluruh blok tanaman padi.
“Kerja-kerja penyelenggaraan ini penting bukan sahaja ketika musim hujan untuk elak banjir yang akan musnahkan padi, tetapi juga untuk memastikan bekalan air bagi aktiviti penanaman padi sentiasa mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Jentera Pusat Latihan Beras MADA (MRTC) di Kompleks Latihan MADA, Kota Sarang Semut, pada Selasa.
Ismail memaklumkan, selain peruntukan berkenaan, MADA juga mencadangkan agar insentif tunai RM600 dikembalikan kepada pesawah kerana ia dapat membantu meringankan beban kewangan, terutama ketika mereka ditimpa bencana tanaman.
“Insentif RM600 itu juga penting cuma bajet ini daripada Kementerian Kewangan, bukan MADA. Kita berusaha untuk jadikan insentif ini sebagai tetap dan tidak perlu mohon setiap tahun. Jika nelayan dan pengusaha lain menerima insentif tetap, pesawah yang menjadi tonggak keterjaminan makanan negara juga wajar diberikan keutamaan,” katanya.
Menurutnya lagi, MADA kini dalam keadaan siap siaga menghadapi peralihan monsun yang dijangka berlaku susulan fenomena La Nina bagi meminimumkan kesan kepada tanaman padi.
“Kita akan pastikan semua infrastruktur utama termasuk struktur kawalan dan ban saluran utama diselenggara bagi memastikan kesempurnaan fungsi serta dapat minimumkan risiko kerosakan dan pada masa sama optimumkan operasi kawalan bencana,” katanya.
Tambah beliau, MADA turut menyediakan pelan pengurusan bencana yang telah diaktifkan secara sistematik dan melibatkan penyelarasan menyeluruh antara pasukan teknikal serta anggota di lapangan.
“Pesawah tidak perlu bimbang dengan fenomena peralihan monsun yang dijangka bermula pada 30 September hingga November depan.
“MADA juga perkukuhkan bantuan logistik dengan barisan aset lengkap dan bersedia digerakkan pada bila-bila masa termasuk pam bergerak, bot, lori dan jentera jengkaut untuk memastikan tindak balas efisien sekiranya berlaku bencana,” katanya.
Ismail berkata, sehingga kini proses menuai padi bagi musim ini sudah mencapai 50 peratus dan dijangka selesai hujung Oktober ini.
“Kita cuba sebaik mungkin untuk melindungi tanaman, harta benda dan kesejahteraan pesawah daripada sebarang risiko kerosakan sekiranya berlaku banjir dalam tempoh tersebut,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pesawah di Kawasan Muda supaya sentiasa memantau keadaan di tapak tanaman masing-masing, serta mengutamakan langkah keselamatan.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan aktiviti penanaman padi berjalan lancar walaupun berdepan cabaran cuaca pada fasa peralihan monsun ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ismail memaklumkan, jumlah keseluruhan takungan empangan MADA adalah sebanyak 598,432 ekar kaki atau 48.93 peratus.
“Kedudukan semasa takungan empangan pada 30 September menyaksikan Empangan Pedu berada pada 51.38 peratus, Empangan Muda sebanyak 24.88 peratus dan takungan Empangan Ahning sebanyak 52.82 peratus,” katanya.
Ringkasan AI
- Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berharap kerajaan meluluskan permohonan peruntukan RM48 juta untuk penyelenggaraan sistem pengairan
- Permohonan ini bertujuan untuk memperbaiki infrastruktur dan mengelakkan banjir yang memusnahkan tanaman padi
- Penyelenggaraan tali air dan sistem pengairan perlu dilakukan empat kali setahun
- MADA mencadangkan agar insentif tunai RM600 dikembalikan kepada pesawah
- MADA dalam keadaan siap siaga menghadapi peralihan monsun dengan menyediakan pelan pengurusan bencana
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

