DPMM kemuka 10 tuntutan dalam Belanjawan 2026

Norsyahrin (tengah) pada sidang media selepas mengadakan perbincangan meja bulat, Isnin. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Norsyahrin (tengah) pada sidang media selepas mengadakan perbincangan meja bulat, Isnin. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mengemukakan 10 tuntutan utama untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2026 bagi memperkasa ekonomi serta meningkatkan penyertaan bumiputera dalam arus perdana negara.

Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata, tuntutan berkenaan dirumus hasil perbincangan meja bulat bersama pakar ekonomi, Tan Sri Noor Azlan serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ekonomi Melayu yang diadakan di ibu negara.

Menurut beliau, antara cadangan utama ialah pemberian insentif cukai kepada syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengutamakan vendor bumiputera, dengan sasaran minimum 40 peratus penyertaan dalam rantaian bekalan projek nasional.

DPMM turut menuntut agar kerajaan menambah peruntukan RM1 bilion kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi melaksanakan program pembangunan keusahawanan di seluruh negara.

Ahli DPMM diketuai Norsyahrin (duduk, dua kanan) bersama Noor Azlan (duduk dua dari kiri) bergambar selepas perbincangan meja bulat pada Isnin. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ahli DPMM diketuai Norsyahrin (duduk, dua kanan) bersama Noor Azlan (duduk dua dari kiri) bergambar selepas perbincangan meja bulat pada Isnin. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID

Selain itu, dana RM100 juta bagi Geran Konsortium Nasional Usahawan Bumiputera dicadangkan untuk menggalakkan penggabungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke dalam konsortium nasional yang diselaras oleh DPMM, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada syarikat gergasi.

“DPMM juga mahu kerajaan membangunkan Pusat Data dan Portal Ekonomi Bumiputera sebagai platform sehenti yang mengandungi data peluang perniagaan, tender kerajaan dan GLC, skim pembiayaan, geran, pemilikan ekuiti serta maklumat strategik lain.

“Bagi memastikan pelaksanaan berkesan, DPMM mencadangkan penubuhan Unit Pemantauan Belanjawan Bumiputera di bawah Kementerian Ekonomi dengan kerjasama DPMM untuk menilai setiap peruntukan berkaitan bumiputera,” katanya kepada Sinar Harian selepas perbincangan meja bulat di Anjung Melayu, Jalan Bukit Petaling pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Turut dicadangkan ialah penubuhan Dana Wakaf Korporat Bumiputera dengan kerjasama institusi kewangan Islam, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji dan pusat zakat bagi membiayai projek keusahawanan strategik, pendidikan tinggi dan penyelidikan.

DPMM juga mencadangkan penubuhan Dana Pembangunan Tanah Rizab Melayu bagi membangunkan kawasan strategik tanpa menjejaskan hak milik Melayu, termasuk projek perumahan, agropelancongan moden, pusat industri halal serta kawasan warisan Melayu.

“Bagi menjamin modal pusingan yang berterusan, DPMM menuntut kerajaan mewujudkan Dana Pusingan Nasional Bumiputera sebanyak RM500 juta dengan kerjasama institusi kewangan utama negara,” katanya.

Selain itu, DPMM mahu kerajaan merangka Pelan Induk Nasional Penguasaan Ekosistem Bumiputera agar syarikat tempatan tidak lagi berada di pinggir pasaran, sebaliknya menjadi penggerak utama rantaian bekalan negara menjelang 2035.

Tuntutan terakhir ialah peruntukan RM10 juta bagi Inisiatif Dana Komersialisasi R&D Universiti Tempatan untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan dan prototaip universiti, dengan sasaran 100 produk baharu bumiputera berjaya dikomersialkan menjelang 2030.

Norsyahrin menegaskan, semua tuntutan ini selari dengan hasrat memperkukuh daya saing ekonomi bumiputera, selain mengurangkan kebergantungan terhadap bantuan kerajaan secara berterusan.

Ringkasan AI

  • DPMM mengajukan 10 tuntutan utama untuk Belanjawan 2026 bagi memperkasa ekonomi bumiputera
  • Cadangan mencakup insentif cukai untuk syarikat yang mengutamakan vendor bumiputera dengan sasaran penyertaan 40 peratus dalam projek nasional
  • Minta tambahan peruntukan RM1 bilion untuk Mara melaksanakan program pembangunan keusahawanan
  • Mencadangkan Dana Wakaf Korporat Bumiputera dan Dana Pembangunan Tanah Rizab Melayu untuk membiayai projek strategik
  • Menuntut pembentukan Dana Pusingan Nasional Bumiputera RM500 juta dan Pelan Induk Penguasaan Ekosistem Bumiputera menjelang 2035

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!