Belanjawan 2026: Ibu bapa cadang BAP dinaikkan kepada RM250

Muhammad Rizal (tiga dari kanan) bersama keluarga ketika anak-anaknya mengulang kaji pelajaran di rumah di Pasir Panjang, Sekinchan.
Muhammad Rizal (tiga dari kanan) bersama keluarga ketika anak-anaknya mengulang kaji pelajaran di rumah di Pasir Panjang, Sekinchan.
A
A
A

SABAK BERNAM – Rata-rata ibu bapa mahu Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dinaikkan daripada RM150 kepada RM250 seorang murid bagi menampung kos kelengkapan sekolah yang semakin meningkat.

Seorang bapa, Muhammad Rizal Fadzil, 42, berkata, ibu bapa amat berharap pengumuman berhubung perkara itu dapat dibuat dalam pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Oktober ini.

Menurutnya, pemberian RM150 seorang murid yang dilaksanakan kerajaan ketika ini memang membantu, namun tidak mencukupi berikutan peningkatan kos sara hidup serta harga kelengkapan sekolah yang semakin tinggi.

“Baju sekolah sahaja kini mencecah hampir RM100 sepasang, belum masuk kasut, beg dan yuran.

“Kalau ada lima orang anak macam saya, perbelanjaan boleh mencecah sehingga RM600 pada awal tahun,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Empat daripada lima anaknya layak menerima bantuan BAP iaitu Muhammad Afiq Rifqi, 16; Muhammad Amirul Raziq, 15; Muhammad Aqif Ramzi, 11; dan Puteri Ariana Ros, 8.

Seorang lagi anaknya, Puteri Aafiyah Raudhah, 6, tidak layak kerana masih berada di prasekolah.

Ujarnya, sekiranya BAP dinaikkan sebanyak RM100 lagi, ia sudah cukup melegakan ibu bapa terutama bagi keluarga berpendapatan rendah dan mempunyai anak ramai.

Muhammad Rizal yang mengusahakan tanaman kelapa sawit sebagai punca pendapatan berkata, rakyat sememangnya menanti khabar gembira itu.

Artikel Berkaitan:

“Apa juga bentuk penambahbaikan BAP amat dialu-alukan kerana setiap tahun kos perbelanjaan persekolahan semakin meningkat,” katanya.

Seorang lagi bapa, K Sivabalan, 49, turut berpendapat jumlah BAP yang diberikan kerajaan wajar dinaikkan kerana kos sara hidup semakin tinggi.

Dua anaknya, S Kirthy, 17, dan S Nabhita, 12, masih bersekolah manakala seorang lagi sudah bekerja.

Katanya, jumlah BAP sebanyak RM150 seorang murid dianggap terlalu kecil berbanding perbelanjaan sebenar yang perlu ditanggung.

Menurut Sivabalan, sama ada membeli kelengkapan di dalam atau luar kawasan, ibu bapa tetap berdepan kos tambahan kerana perlu menanggung perbelanjaan minyak dan pengangkutan.

Sivabalan.
Sivabalan.

“Saya berharap Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan nanti memberi khabar gembira kepada rakyat agar lebih seimbang dengan kos sara hidup semasa,” katanya.

Seorang lagi bapa, Chia Sang Hee, 50, dari Sungai Besar turut bersetuju sekiranya BAP dinaikkan kerana harga barangan keperluan kini semakin mahal.

Sang Hee yang mempunyai empat orang anak dan hanya seorang daripadanya layak menerima BAP kerana masih bersekolah berkata, jumlah RM250 seorang murid amat membantu khususnya dalam membeli pakaian sekolah.

Sang Hee.
Sang Hee.

“Kalau naik RM250 lebih realistik sebab kami boleh guna untuk beli barangan keperluan dan perbelanjaan lain misalnya buku latihan dan sebagainya.

“Sekarang ini kos makin tinggi, bukan saja kelengkapan sekolah tetapi juga makan minum harian,” katanya.

Menurutnya, perbelanjaan makan seorang anak di kantin sekolah sahaja mencecah sekitar RM400 sebulan.

“Jika ada pengumuman kerajaan tentang kenaikan jumlah BAP amat dialu-alukan kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan perbelanjaan persekolahan anak-anak,” tambahnya.

Ringkasan AI

  • Ibu bapa mahu Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan dari RM150 kepada RM250 bagi menampung kos sekolah
  • Muhammad Rizal berharap pengumuman kenaikan BAP dibuat dalam Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri
  • Kos sara hidup dan harga kelengkapan sekolah yang meningkat buat RM150 tidak mencukupi
  • Empat daripada lima anak Muhammad Rizal layak menerima bantuan BAP
  • Beberapa ibu bapa lain turut bersetuju dan berharap BAP dinaikkan untuk meringankan beban kos persekolahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!