Global Sumud Flotilla: Dijangka masuk zon merah jam 7 petang esok waktu Malaysia.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby ketika mengadakan sidang media berhubung Misi Global Sumud Flotilla (GSF) di MAPIM central Warehouse, Bandar Serenia, Sepang pada Selasa.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby ketika mengadakan sidang media berhubung Misi Global Sumud Flotilla (GSF) di MAPIM central Warehouse, Bandar Serenia, Sepang pada Selasa.
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) menjangkakan misi Global Sumud Flotilla akan memasuki Zon Merah dalam masa 28 jam iaitu pada Rabu jam 7 petang waktu Malaysia.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, zon merah akan dipecahkan kepada tiga zon iaitu zon satu, dua dan tiga yang dikategorikan sebagai kawasan kritikal.

Menurutnya, ini kerana pada bila-bila masa mereka boleh dipintas.

"Oleh itu, pihak sekretariat mengambil langkah bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang pelayaran.

"Semalam kita berjaya masuk zon kuning dan saya percaya zon merah itu bermulalah perhatian penuh kerana dikategori zon kritikal.

"Selalunya mereka akan dipintas pada waktu malam berdasarkan corak yang berlaku sebelum ini," katanya ketika sidang akhbar berhubung Misi Global Sumud Flotilla (GSF) di MAPIM central Warehouse, Bandar Serenia di sini pada Selasa.

Bagaimanapun beliau berkata, jangan putus asa dan teruskan berdoa serta bersatu kerana ALLAH sebaik-baik perancang.

"Melihat corak terakhir kumpulan itu berada di zon kuning dijangkakan satu kemenangan moral bukan sahaja diperingkat Malaysia bahkan di dunia," katanya.

Tambah beliau, dari sudut perundangan laut kumpulan GSF tidak memasuki zon bahaya memandangkan tidak melanggar sebarang hal yang bersangkutan dengan perundangan dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Laluan yang kita pilih ini laut antarabangsa jadi dari sudut perundangan kita berada di atas laluan benar.

"Justeru, apa sahaja dari pihak rejim, dunia akan bangkit dan dan bersama dengan misi yang bersejarah ini," ujarnya.

Beliau memberitahu, delegasi Malaysia dilaporkan berada dalam keadaan baik dan sihat.

Dalam masa sama, SNCC mengesahkan menerima bantuan kemanusiaan dari Agensi Turkish Red Crescent yang disalurkan melalui kapal laut tentera Turkiye.

 

 

Ringkasan AI

  • SEPANG- Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) menjangkakan misi Global Sumud Flotilla akan memasuki Zon Merah dalam masa 28 jam
  • Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihak sekretariat mengambil langkah bersiap siaga
  • Melihat corak terakhir kumpulan itu berada di zon kuning dijangkakan satu kemenangan moral
  • Menyusul

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!