Dari dapur rumah ke lautan luas, tabik sukarelawan wanita kita

ADA di antara mereka yang namanya tidak terpampang di dada akhbar, wajahnya tidak menghiasi televisyen, malah barangkali jiran sebelah pun tidak tahu keberaniannya. Tetapi di mata Merak Jalanan, mereka inilah wira sebenar.
Kali ini wira itu hadir dalam wajah-wajah sukarelawan wanita Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF), misi antarabangsa membawa solidariti buat saudara di Palestin.
Bayangkan, seorang wanita dengan segala kelembutan fitrah yang dikurniakan memilih jalan yang penuh risiko demi mengangkat martabat kemanusiaan.
Bukan melancong atau nak membeli-belah, bukan juga untuk berlibur, tetapi menyusuri lautan luas yang bila-bila masa sahaja boleh diancam bahaya kapal perang Zionis.
Di saat sebahagian kita sibuk mengejar like di media sosial, mereka pula mengorbankan masa bersama keluarga, tenaga, bahkan keselamatan diri demi satu perjuangan yang tidak pernah padam membela bumi Palestin.
Merak Jalanan yakin langkah kecil mereka tidak sia-sia. Keberanian ini menjadi isyarat bahawa Malaysia tidak sekadar bersimpati dari jauh.
Dari hati nurani seorang wanita yang biasanya bekerja di dapur dan menjaga anak di rumah, kini mereka menjaga maruah umat di pentas dunia. Itu lebih besar nilainya daripada ribuan ramai yang hanya pandai berpidato kosong.
Kepada sukarelawan wanita ini, Merak Jalanan tabik hormat dan doakan mereka beroleh kejayaan. Keringat dan keberanian kalian adalah dakwat sejarah yang tidak mudah dipadamkan.
Semoga semangat sumud yang kalian bawa di lautan itu turut berlabuh dalam hati seluruh rakyat Malaysia bahawa perjuangan menentang kezaliman bukan milik Palestin semata tetapi milik kita bersama.
Bagi kita rakyat Malaysia, ayuh berikan sokongan dari jauh agar misi ini berjaya dan kesemua 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi ini selamat pulang ke tanah air dengan kemenangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
