Global Sumud Flotilla: Dua hari lagi dijangka tiba di Gaza

SHAH ALAM – Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza kini semakin menghampiri garisan paling mencabar apabila dijangka melepasi zon merah dalam tempoh dua hari lagi.
Berdasarkan tinjauan 'Sumud Nusantara Flotilla Tracker' dibangunkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), flotilla berkenaan berada pada kedudukan kira-kira 252.8 batu nautika daripada destinasi dengan purata kelajuan 4.3 knot.
Ia dijangka mengambil masa sekitar dua hari 10 jam sebelum memasuki perairan Gaza.
Setakat jam 8.30 pagi, 45 kapal yang menyertai konvoi tersebut sedang berlayar di zon kuning.
Kapal Yulara berada paling depan dalam konvoi berkenaan, diikuti Shireen, Wahoo dan kapal-kapal lain.
Pada Isnin, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kapal misi dijangka memasuki zon merah dan menghampiri Gaza pada Khamis ini.
Menurutnya, flotilla berada kira-kira 366 batu nautika dari pesisir Gaza dan dijangka memasuki zon kuning pada 9.18 malam waktu Malaysia.
Sani memaklumkan, SNCC menjangkakan misi bakal berdepan dengan sedikit kelewatan dan mula masuk zon merah Gaza pada Khamis.
Ringkasan AI
- Konvoi Global Sumud Flotilla membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza semakin hampir ke zon merah
- Konvoi tersebut berada kira-kira 252.8 batu nautika dari Gaza dengan kelajuan purata 4.3 knot
- Dianggarkan masa pelayaran adalah sekitar dua hari 10 jam sebelum memasuki perairan Gaza
- Setakat jam 8.30 pagi, terdapat 45 kapal dalam konvoi tersebut yang berlayar di zon kuning
- Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara menyatakan kapal misi dijangka memasuki zon merah pada Khamis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

