Bukan sekadar angka, SARA RM100 simbol keprihatinan - Ismail

Ismail (tengah) bergambar bersama barisan pengurusan J-KOM dan penerima sumbangan pada program SARA anjuran J-KOM di Alamanda Putrajaya pada Selasa. FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ismail (tengah) bergambar bersama barisan pengurusan J-KOM dan penerima sumbangan pada program SARA anjuran J-KOM di Alamanda Putrajaya pada Selasa. FOTO: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

PUTRAJAYA – Inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 dilihat bukan sekadar angka, sebaliknya membawa makna besar kerana mencerminkan semangat keprihatinan kerajaan terhadap beban hidup rakyat.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop berkata, menyedari perkara itu, pihaknya mengambil inisiatif membuat pembelian menggunakan SARA RM100 dan mengagihkannya kepada mereka yang kurang berkemampuan.

“Hari ini, kami menggunakan SARA RM100 untuk membuat pembelian, kemudian mengagihkannya kepada orang ramai yang memerlukan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas sesi libat urus J-KOM sempena pembelian barangan SARA di sebuah pasar raya, di sini pada Selasa.

Menurutnya, J-KOM sebagai agensi yang menguruskan komunikasi strategik kerajaan melihat keperluan untuk menunjukkan pendekatan berbeza kerana sekadar menjawab kritikan tidak memberikan kesan.

“Bagi kami, menjawab sahaja tidak ada makna. Kita mahu tunjukkan penghargaan bahawa semangat bantuan ini membawa makna yang sangat besar, dalam konteks semangat Ihsan Madani.

“Jadi, kita raikan bersama penerima dengan pegawai sendiri berkongsi sumbangan RM100 dengan pihak yang benar-benar memerlukan,” jelasnya.

Ismail menegaskan, isu utama rakyat pada masa ini, khususnya golongan B40, adalah berkaitan kos sara hidup dan ia menyentuh soal ‘bread and butter’ atau keperluan harian.

Katanya, walaupun jumlah yang diterima tidak besar, ia tetap memberi kesan kerana rakyat merasa ada pihak yang mengambil berat terhadap kesusahan mereka.

“Ia bukan sekadar angka, tetapi rasa keprihatinan dan syukur kerana ada orang mengambil berat. Kalau semangat ini kita boleh semarakkan, ia mampu membantu memberikan kesejahteraan kepada semua,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, semangat yang ditonjolkan melalui SARA RM100 itu diharap dapat menjadi motivasi kepada pihak lain untuk turut sama membantu, sekali gus menyerlahkan kekuatan negara dalam menjaga kebajikan rakyat.

“Saya percaya kalau kita raikan dan memeriahkannya, ia akan menunjukkan betapa besar serta hebatnya negara ini dalam konteks menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Bantuan SARA untuk semua sebanyak RM100 secara sekali beri atau ‘one-off’ mula disalurkan pada 31 Ogos lalu kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas, sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan tunai itu disalurkan terus melalui MyKad dan boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas berdasarkan 14 kategori produk terpilih.

Sementara itu, seorang pesara, Arbain Talib, 61, bersyukur dipilih menjadi penerima bantuan SARA di majlis tersebut.

“SARA saya masih berbaki sedikit kerana hanya membeli barangan mengikut keperluan,” jelasnya.

Bagi Herna Selamat, 44, sikap Ismail dan kepimpinan J-KOM patut dipuji kerana sanggup menyerahkan hak mereka untuk membantu golongan kurang berkemampuan.

“Saya mempunyai enam orang anak, dan saya anggap ini adalah rezeki anak-anak,” katanya.

Ringkasan AI

  • Inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 diterapkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap beban hidup rakyat
  • J-KOM mengambil inisiatif melaksanakan pembelian dan pemberian SARA kepada mereka yang kurang berkemampuan
  • SARA RM100 dilihat sebagai cara untuk menunjukkan penghargaan dan semangat Ihsan Madani kepada penerima
  • Ismail Yusop menyatakan isu kos sara hidup khususnya bagi golongan B40 adalah utama dan SARA RM100 cukup memberi kesan
  • Semangat SARA RM100 diharap dapat menjadi motivasi kepada pihak lain untuk membantu, menyerlahkan kekuatan negara dalam menjaga kebajikan rakyat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!