Jadikan sekolah tempat paling selamat untuk anak-anak

Tragedi di Lenggeng harus menjadi titik tolak reformasi menyeluruh kepada semua pihak untuk menambah baik kekurangan yang ada di sekolah-sekolah.
Tragedi di Lenggeng harus menjadi titik tolak reformasi menyeluruh kepada semua pihak untuk menambah baik kekurangan yang ada di sekolah-sekolah.
A
A
A

INSIDEN murid sembilan tahun terjatuh ke dalam lubang kumbahan di kawasan sekolah di Lenggeng, Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini sekali lagi menggemparkan negara.

Sekolah yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat kini mendedahkan kelemahan besar aspek penyelenggaraan. Persoalannya, mengapa insiden sebegini masih berlaku?

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pantas memberi jaminan bahawa siasatan segera akan dijalankan.

Beliau menegaskan, keselamatan murid tidak boleh dikompromikan dan pihak yang cuai mesti dikenakan tindakan. Memang wajar beliau melontarkan ketegasan tersebut.

Sebenarnya, insiden keselamatan di sekolah bukan baharu. Mei lalu, seorang murid Tahun Lima di sebuah sekolah di Melaka tersepit kaki pada jeriji penutup longkang sehingga terpaksa menahan sakit lebih 40 minit sebelum diselamatkan bomba dengan peralatan khas.

Juga isu keselamatan lebih 800 murid di sebuah sekolah di Jasin, Melaka didakwa terancam selepas struktur bangunan sekolah berusia 25 tahun itu dilaporkan uzur hingga menyebabkan insiden siling runtuh.

Keadaan yang berlanjutan sejak hampir dua tahun lalu telah menyebabkan sebuah kelas di Blok B terpaksa ditutup.

Difahamkan PIBG bersama penduduk setempat telah beberapa kali membangkitkan isu berkenaan, namun sehingga kini belum ada penyelesaian tuntas.

Insiden sama juga berlaku di sebuah sekolah jenis kebangsaan di Klang. Walaupun kerajaan negeri meluluskan peruntukan segera, kejadian tersebut membuktikan betapa rapuhnya penyelenggaraan bangunan sekolah yang usang.

Artikel Berkaitan:

Malah, ada juga bangunan sekolah usang di Sabah sehingga ibu bapa merayu campur tangan segera.

Semua fakta ini menunjukkan masalah keselamatan bukan kes terpencil, tetapi gejala sistemik yang perlu ditangani secara menyeluruh.

Audit keselamatan perlu dilaksanakan dengan lebih kerap. Setiap kelemahan struktur mesti diperbaiki segera, bukan ditangguhkan dengan alasan kekangan bajet.

Nyawa murid jauh lebih berharga daripada sebarang angka di atas kertas. Ibu bapa menghantar anak ke pagar sekolah dengan doa mereka pulang dengan selamat.

Justeru, tragedi di Lenggeng itu harus menjadi titik tolak reformasi menyeluruh kepada semua pihak untuk menambah baik kekurangan yang ada di sekolah-sekolah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!