Ambulans air percuma mudahkan bawa pesakit kronik, jenazah mula operasi di Langkawi

Dari kiri: Romli dan Zuraidi bergambar di hadapan ambulan air yang dilancarkan pada Ahad. Foto: Ihsan pembaca
Dari kiri: Romli dan Zuraidi bergambar di hadapan ambulan air yang dilancarkan pada Ahad. Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

ALOR SETAR – Penduduk dan pelancong di Pulau Langkawi kini boleh menarik nafas lega apabila perkhidmatan ambulans air secara percuma yang menawarkan bantuan untuk membawa pesakit kronik dan jenazah mula beroperasi.

Pengerusi Anak Muda Madani Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, perkhidmatan tersebut melibatkan dua unit bot khas lengkap dengan sokongan ambulans darat bagi memastikan pesakit kronik atau jenazah dapat di bawa ke tanah besar dengan selamat.

Menurutnya, langkah tersebut diambil selepas pihaknya menerima banyak rungutan daripada penduduk Langkawi yang sebelum ini terpaksa menyewa bot persendirian dengan kos mencecah RM800 hingga RM2,500 setiap kali mahu membawa pesakit atau jenazah ke Kuala Perlis.

“Selama ini masyarakat terbeban kerana tiada pengangkutan khusus. Ada yang terpaksa guna bot nelayan, selain isu keselamatan dan insurans penumpang yang meragukan.

“Tanggungjawab ini diambil untuk sediakan ambulans air percuma yang boleh digunakan 24 jam, sama ada untuk kes kecemasan, pesakit kronik atau menguruskan jenazah,” katanya semasa dihubungi pemberita pada Isnin.

Perkhidmatan ambulan air itu telah dilancarkan di Jeti Tanjung Rhu Mangrove, Langkawi pada Ahad.

Zuraidi menjelaskan, sebuah bot kecil akan digunakan khusus untuk membawa pesakit, manakala bot lebih besar disediakan bagi pengurusan jenazah.

Kedua-dua bot akan beroperasi hingga ke Kuala Perlis sebelum pesakit atau jenazah dipindahkan ke ambulans darat untuk dibawa ke hospital.

Sementara itu, Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa menyambut baik pelancaran perkhidmatan tersebut kerana ia mematuhi undang-undang laut dan dilengkapi perlindungan insurans.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penggunaan ambulans air jauh lebih selamat berbanding bot nelayan atau persendirian yang digunakan sebelum ini.

“Perkhidmatan ini bukan sahaja mematuhi piawaian keselamatan, malah memberi jaminan kepada penumpang dari segi perlindungan insurans dan pengurusan kecemasan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Penduduk dan pelancong di Pulau Langkawi kini boleh menggunakan perkhidmatan ambulans air percuma untuk bantuan kecemasan dan pengurusan jenazah
  • Perkhidmatan tersebut melibatkan dua unit bot khas dengan sokongan ambulans darat untuk pengangkutan ke tanah besar
  • Inisiatif ini muncul sebagai respons terhadap keluhan penduduk tentang kos tinggi penyewaan bot persendirian untuk tujuan sama
  • Ambulans air itu dilengkapi dengan dua bot berbeza, satu untuk pesakit dan satu lagi khusus untuk pengurusan jenazah
  • Perkhidmatan ini mematuhi undang-undang laut, dilengkapi perlindungan insurans, dan dianggap lebih selamat daripada menggunakan bot nelayan atau persendirian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!