Musim durian dan cuti sekolah, Pulau Pinang diserbu pengunjung

GEORGE TOWN – Pulau Pinang kembali menjadi destinasi tumpuan ribuan pengunjung sempena musim durian yang bermula awal bulan ini serta cuti sekolah yang sedang berlangsung.
Tinjauan mendapati jalan ke Balik Pulau, lokasi ikonik bagi penggemar raja buah mengalami kesesakan teruk sejak Khamis lalu, selain kawasan pelancongan popular lain seperti Bukit Bendera, Padang Kota dan Batu Ferringhi yang turut dipenuhi pelancong tempatan dan antarabangsa.
Penjual durian, Ahmad Salim Suhaimi, 45, berkata, kawasan Balik Pulau menjadi tumpuan utama penggemar durian kerana keunikan rasa serta kualiti buah seperti Musang King, Black Thorn dan Hor Lor.
“Musim buah baru bermula dan akan bertambah dalam tempoh dua minggu. Tetapi sempena cuti sekolah dan hujung minggu panjang, ramai sudah datang ke sini. Kami jual ratusan biji durian setiap hari,” katanya.
Siti Hasmuna Rohaimi, 38, pula sanggup datang dari Negeri Sembilan bersama keluarga semata-mata untuk menikmati durian Balik Pulau yang menurutnya mempunyai rasa lebih lemak dan segar.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Pulau Pinang, Datuk Tony Goh memaklumkan bahawa tempahan hotel hampir penuh sejak Jumaat, terutama di Batu Ferringhi dan George Town.
“Harga pakej makan durian di dusun lebih murah, sekitar RM80 hingga RM100 seorang kerana kerjasama antara hotel dan pemilik kebun. Pelancong boleh menikmatinya terus di dusun atau di hotel dalam suasana terbuka,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai pula berkata, Bukit Bendera kekal sebagai tumpuan dengan peningkatan mendadak pengunjung sehingga lebih 9,000 orang sehari pada hujung minggu.
Jambatan Pulau Pinang serta jalan utama sekitar George Town dan Batu Ferringhi juga dilaporkan sesak, dengan kawasan seperti Armenian Street, Padang Kota dan Jeti Chew turut menjadi tarikan utama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
