Bawa jenazah kakak 'bonceng' motosikal, redah hutan selama 5 jam

GORONTALO - Seorang lelaki terpaksa membawa jenazah kakaknya menaiki motosikal dan menempuh perjalanan mencabar selama lima jam untuk sampai ke destinasi.
Momen pilu individu dikenali sebagai Peo Samania warga Kecamatan Pinogu, Kabupaten Bone, Bolango, Gorontalo, Sulawesi di Indonesia itu turut menjadi tular di media sosial pada minggu lalu.
Kisahnya diceritakan ahli keluarga mereka, Wawan Thalib yang mendakwa Peo terpaksa meredah hutan belantara Taman Nasional Bogani Nani Wartabone selain melalui jalan rosak dengan jasad kakaknya, Nandar Samania diikat pada belakang tubuhnya.
Difahamkan, Kecamatan Pinogu terletak di tengah hutan dan belum dilengkapi kemudahan umum termasuk rumah sakit (RS).
Menurut Wawan, Nandar turut dibawa ke RS Toto dari rumahnya di Desa Tilonggibila menggunakan pengangkutan sama iaitu sebuah motosikal yang diubah sesuai untuk meredah hutan.
"Dia sempat terima rawatan selama empat hari sebelum meninggal dunia. Perjalanan Peo amat mencabar kerana dia juga berdepan insiden pokok tumbang," ujarnya lagi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

