Sultan Selangor titah elak spekulasi, tuduhan negatif isu pelantikan hakim

Kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah Klang pada Khamis
Kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah Klang pada Khamis
A
A
A

KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan serta hakim-hakim kanan mahkamah atasan hendaklah dilakukan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan secara telus dan berhati-hati.

Baginda bertitah demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-269 yang telah bersidang pada 16 Julai lalu, selepas Mesyuarat 'Pre-Council' diadakan pada 15 Julai 2025.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Alam Shah pada Khamis, baginda menzahirkan rasa syukur kerana mesyuarat tersebut berjalan dengan baik dan lancar.

Antara agenda utama yang dibincangkan adalah rundingan pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta hakim-hakim mahkamah atasan.

Sultan Sharafuddin bertitah, dalam proses rundingan tersebut, baginda menekankan keperluan untuk mematuhi setiap peruntukan undang-undang, khususnya di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan proses dan tatacara pelantikan hakim-hakim kanan mahkamah atasan.

“Beta menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara bertarikh 10 Julai 2025 yang menyatakan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan jawatan penting lain dalam badan kehakiman setelah mendapat nasihat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Proses yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan ini perlu dilaksanakan secara telus dan berhati-hati demi memelihara kedaulatan undang-undang serta mendukung prinsip keadilan yang menjadi teras utama dalam pemerintahan negara,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda menyeru semua pihak agar mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa memperoleh fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!