[VIDEO] Pemandu pikap 'terbang' nafi pandu kereta bawah pengaruh dadah

A
A
A

MELAKA – Seorang pekerja kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas tuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan melibatkan lima kenderaan termasuk dua kereta jenis BMW, minggu lalu.

Tertuduh, Anuar Baharin, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu pacuan empat roda bernombor SMH9384 didapati positif methamphetamine di dalam badannya hasil ujian saringan awal air kencing sehingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Lebuh Alor Gajah–Melaka Tengah–Jasin (AMJ), Malim, kira-kira jam 6.35 pagi pada 25 September lalu.

Anuar (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Isnin.
Anuar (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Melaka pada Isnin.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tujuh hingga 10 tahun, denda antara RM30,000 hingga RM50,000, serta hilang kelayakan memandu selama tidak kurang 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdullah Mohd Rodzlad mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Izzuddin Ab Malek memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan kira-kira RM1,500 sebulan dan menanggung dua anak.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menggantung lesen memandunya sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 November depan.

Pada Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan, gara-gara dipercayai mabuk, seorang pemandu pikap hilang kawalan sebelum merempuh lima kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat di Lebuh AMJ, awal pagi itu.

Dalam kejadian sekitar jam 7.30 pagi itu, enam individu yang cedera ringan telah dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton itu datang dari arah Bandar Melaka menghala ke arah Cheng sebelum melanggar pembahagi jalan.

Ringkasan AI

  • Seorang pekerja kedai makan di Melaka mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu di bawah pengaruh dadah menyebabkan kemalangan melibatkan lima kenderaan
  • Tertuduh, Anuar Baharin berusia 30 tahun, didapati positif methamphetamine
  • Kemalangan terjadi di Lebuh Alor Gajah–Melaka Tengah–Jasin, kira-kira jam 6.35 pagi pada 25 September
  • Dia berdepan hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun, denda RM30,000 hingga RM50,000, dan hilang kelayakan memandu selama minimum 10 tahun
  • Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 dengan penggantungan lesen memandu sehingga kes selesai, sebutan semula pada 4 November

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!