PAAB tamatkan isu air Lubok Simpul

Jaseni (kanan) menggunting riben sebagai simbolik penyerahan tangki air kepada penduduk Kampung Lubok Simpul.
Jaseni (kanan) menggunting riben sebagai simbolik penyerahan tangki air kepada penduduk Kampung Lubok Simpul.
A
A
A

KUALA KRAI – Lebih 500 penduduk Kampung Lubok Simpul di sini akhirnya menikmati bekalan air bersih lebih stabil selepas masalah gangguan berlarutan lebih 30 tahun diselesaikan melalui pembinaan tangki air baharu berkapasiti 4,500 liter oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Pengerusi PAAB, Datuk Seri Ir Jaseni Maidinsa berkata, Kampung Lubok Simpul dipilih sebagai kampung angkat selepas kajian mendapati penduduk sering berdepan gangguan bekalan air berulang akibat tekanan rendah dan keadaan tangki lama yang uzur. 

Justeru, PAAB mengambil langkah membina sebuah tangki air baharu jenis polietilena ketumpatan tinggi di surau berkenaan sebagai pusat pengagihan alternatif bagi komuniti setempat.

“Tangki tersebut mula dipasang pada Julai lalu dan siap sepenuhnya dalam tempoh lima minggu. 

“Infrastruktur ini akan memberi jaminan bekalan air kepada 124 akaun pengguna sekiranya berlaku gangguan bekalan dari Loji Rawatan Air Pahi,” katanya sempena Majlis Ramah Mesra Santuni Madani di Madrasah Kampung Lubok Simpul, di sini, pada Ahad.

Menurut beliau, saluran paip utama jenis paip simen asbestos di kampung itu sebelum ini berisiko tinggi untuk pecah, memaksa Air Kelantan Sdn Bhd mengurangkan tekanan air, sekali gus menjejaskan bekalan air terawat kepada penduduk. 

Bagi mengatasi masalah itu, PAAB turut menjalankan projek penggantian paip lama sepanjang 23.2 kilometer yang melibatkan kawasan Bandar Kuala Krai, Damar hingga ke Kampung Lubok Simpul selain Kota Bharu Timur, Machang dan Tanah Merah.

“Projek bernilai RM23.67 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh PAAB itu siap sepenuhnya pada Mac lalu dan dapat memberi manfaat besar kepada penduduk,” katanya. 

Sementara itu, PAAB juga merancang pelaksanaan beberapa projek baharu melalui peruntukan RM 1bilion. 

Artikel Berkaitan:

Projek itu termasuk penggantian paip lama, sistem agihan dan tangki bekalan air masing-masing bernilai RM200 juta di seluruh Kelantan selain dua pembinaan loji rawatan air di Machang serta Tanjung Mas bernilai RM600 juta. 

Dalam pada itu, Ketua Kampung Lubok Simpul, Mohd Khairul Anuar Mohd Nor berkata, penduduk di kawasan itu sebelum ini terpaksa bergantung kepada air tadahan bukit atau tandak berikutan bekalan daripada AKSB bertekanan rendah.

“Air tandak ini bukan sahaja berisiko keruh, malah kami bimbang tercemar kencing tikus. 

“Paip baharu ini dan tangki air yang ada beri jaminan bekalan dan kebersihan kualiti air,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!