Debaran flotilla: Semakin hampir Gaza, semakin tinggi risiko

Misi Global Sumud Flotilla semakin hampir ke Gaza dengan risiko tinggi dipintas tentera Israel, namun semangat 34 sukarelawan Malaysia kekal teguh demi rakyat Palestin. Foto AFP
Misi Global Sumud Flotilla semakin hampir ke Gaza dengan risiko tinggi dipintas tentera Israel, namun semangat 34 sukarelawan Malaysia kekal teguh demi rakyat Palestin. Foto AFP
A
A
A

MISI Global Sumud Flotilla (GSF) kini berada di titik akhir pelayaran menuju Gaza apabila konvoi kapal bantuan kemanusiaan itu kini semakin dekat dengan perairan Gaza.

Debaran kian terasa kerana kapal yang membawa bekalan penting termasuk makanan dan ubat-ubatan dijangka memasuki zon kuning iaitu kawasan berisiko tinggi untuk dipintas tentera Israel.

Apatah lagi, media rasmi Israel melaporkan rejim terbabit mengerahkan pasukan komando elit laut mereka, Shayetet 13 untuk menyerang dan menawan sukarelawan terlibat.

Pada sidang media di Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Malaysia Central Warehouse pada Ahad, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, misi kemanusiaan itu dijangka berdepan situasi genting susulan kedudukan kapal yang semakin hampir dengan zon kawalan Israel serta berisiko tinggi dihalang ketika menuju ke Gaza.

Susulan itu, Kementerian Luar melalui Wisma Putra akan terus memantau rapat perkembangan misi berkenaan dan menyalurkan maklumat terkini kepada keluarga aktivis yang terlibat.

Risiko situasi genting terbabit mengingatkan dunia kepada tragedi berdarah Mavi Marmara pada 2010 yang tidak pernah padam daripada ingatan masyarakat antarabangsa.

Apa yang membuatkan misi kali ini lebih getir adalah ancaman Israel yang mendakwa flotilla mempunyai agenda tersembunyi iaitu satu bentuk provokasi dikaitkan dengan kumpulan pengganas.

Dakwaan itu dibuat Kementerian Luar Israel selepas GSF menolak cadangan membantu memunggah barangan bantuan dan diselaraskan untuk dihantar ke Gaza dengan selamat.

Tuduhan itu nyata bercanggah dengan realiti kerana misi tersebut jelas membawa mesej kemanusiaan dan solidariti global.

Artikel Berkaitan:

Tindakan rejim Zionis menggambarkan betapa mereka gentar dengan suara antarabangsa yang bersatu menuntut keadilan untuk Palestin.

Dalam keadaan bot flotilla sebelum ini pernah rosak akibat serangan dron Israel, semangat sukarelawan termasuklah 34 rakyat Malaysia menyertai misi terbabit tetap teguh untuk meneruskan pelayaran.

Mereka sedar risiko yang menanti, tetapi memilih untuk berkorban demi memastikan rakyat Gaza menerima sedikit sinar kehidupan melalui bantuan asas yang amat diperlukan.

Jika flotilla itu berjaya menembusi kepungan dan menyampaikan bekalan terus ke Gaza, ia akan menjadi kemenangan moral yang besar.

Ia membuktikan bahawa solidariti antarabangsa masih wujud dan tidak mudah tunduk kepada ugutan Israel dan kejayaan itu juga bakal membuka jalan kepada lebih banyak misi kemanusiaan pada masa akan datang.

Sebaliknya, jika konvoi ini dipintas atau diserang, ia tetap akan tercatat sebagai bukti sejarah bahawa masyarakat dunia tidak pernah berhenti berjuang untuk Palestin.

Walaupun berdepan kekejaman, aktivis dari pelbagai negara tetap sanggup mempertaruhkan nyawa demi rakyat yang tertindas.

Dalam konteks ini, umat Islam khususnya diseru untuk tidak berhenti mendoakan keselamatan sukarelawan dan kejayaan misi tersebut.

Doa yang ikhlas mengiringi pelayaran terbabit bukan sahaja lambang solidariti rohani, tetapi juga perisai moral bagi mereka yang sedang berdepan ujian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!