Konvoi Global Sumud Flotilla hampiri pantai Gaza

Zainal Rashid berkongsi video terbaharunya di ZRA Strim pada Ahad.
Zainal Rashid berkongsi video terbaharunya di ZRA Strim pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Konvoi bantuan kemanusiaan, Global Sumud Flotilla (GSF) kini dilaporkan semakin hampir ke pantai Gaza, Palestin.

Aktivis kemanusiaan dan bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad (dikenali di media sosial sebagai ZRA Strim) berkata, kedudukan terkini flotilla itu hanya kurang 400 batu nautika dari destinasi.

Menurutnya, rombongan berkenaan sudah meninggalkan Pantai Crete, Greece kira-kira 10 jam lalu dan kini berada di perairan antarabangsa.

“Laut Mediterranean agak berombak tetapi kami berharap keadaan kekal tenang. Insya-ALLAH, tiga hari setengah lagi kami dijangka tiba di Gaza,” katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Ahad.

Beliau memaklumkan, hampir 50 kapal menyertai pelayaran kali ini dengan penyertaan lebih 400 pelayar mewakili 44 negara.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, semua kapal dalam konvoi berkenaan kini memasuki zon merah, iaitu kawasan berisiko tinggi akibat kepungan Israel.

“Kami sudah bersedia kerana flotilla ini adalah perjuangan ke-38 dalam tempoh 17 tahun. Sejak 2008, semangat aktivis tidak pernah luntur untuk menembusi halangan rejim Israel,” ujarnya.

Beliau menambah, pelayaran kali ini membawa harapan besar agar bantuan dapat sampai kepada penduduk Gaza yang berdepan krisis kemanusiaan berpanjangan.

“Kami bangun malam tadi untuk bergilir menjaga kawalan selepas menerima khabar tentang pergerakan dron di kawasan ini. Kami percaya ia mungkin daripada pihak keselamatan seperti Turki, Sepanyol atau Itali,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, matahari pagi di Laut Mediterranean memberikan semangat baharu kepada seluruh sukarelawan yang mahu melihat misi ini berjaya.

Zainal turut menganggarkan flotilla itu akan tiba di Gaza antara 30 September atau 1 Oktober 2025, bergantung pada keadaan laut dan kawalan keselamatan.

Tarikh itu menurutnya hampir bertepatan dengan ulang tahun kedua serangan besar-besaran Israel yang mengorbankan lebih 65,000 rakyat Palestin.

Selain itu, lebih 170,000 dilaporkan cedera manakala 500 lagi meninggal dunia akibat kebuluran di Gaza sejak serangan bermula.

“Doakan perjalanan kami selamat dan misi ini berjaya. Setiap saat kami berjuang untuk Palestin kerana tanpa usaha sebegini, suara rakyat Gaza dan Tebing Barat mungkin makin dilupakan dunia,” katanya.

Misi Global Sumud Flotilla terus menjadi simbol solidariti antarabangsa terhadap penderitaan 2.3 juta rakyat Gaza dan lebih 3.5 juta penduduk Palestin di Tebing Barat.

Ringkasan AI

  • Konvoi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla semakin hampir ke pantai Gaza, Palestin
  • Kedudukan terkini flotilla itu hanya kurang 400 batu nautika dari destinasi
  • Hampir 50 kapal dan lebih 400 pelayar dari 44 negara menyertai pelayaran itu
  • Segala kapal dalam konvoi itu memasuki zon merah, kawasan berisiko tinggi akibat kepungan Israel
  • Misi ini membawa harapan besar agar bantuan dapat sampai kepada penduduk Gaza yang berdepan krisis kemanusiaan berpanjangan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!