KPKT cipta dua rekod baharu MBOR sempena Hari Cuci Malaysia 2025

KPKT berjaya melakar dua rekod baharu MBOR pada program HCM 2025.
KPKT berjaya melakar dua rekod baharu MBOR pada program HCM 2025.
A
A
A

PORT DICKSON - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya mencipta dua rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi Hari Cuci Malaysia (HCM) 2025 yang berlangsung pada Sabtu.

Rekod baharu itu membabitkan Penyertaan Gotong Royong Teramai dan Pengumpulan Minyak Masak Terpakai Terbanyak Dalam Satu Hari.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kejayaan itu bukan sahaja mencatatkan pencapaian dalam MBOR, malah turut mencerminkan semangat rakyat Malaysia dalam menjaga kebersihan negara.

“Usaha ini bukan sahaja mencatat sejarah rekod baharu, malah menjadi simbol perpaduan rakyat. Ia membuktikan bahawa kebersihan adalah tanggungjawab bersama demi kesejahteraan generasi kini dan masa depan,” katanya menerusi kenyataan.

Menerusi program itu KPKT berjaya menarik penyertaan seramai 100,817 peserta di seluruh negara, sekali gus memecahkan rekod HCM 2024 yang merekodkan 58,007 peserta.

Bagi kutipan minyak terpakai pula, sebanyak 27,679.31 kilogram minyak masak terpakai bernilai hampir RM80,000 berjaya terkumpul melibatkan penyertaan dari 10 negeri iaitu Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur.

Siti Hajar menyampaikan sijil MBOR kepada Mohd Zamri.
Siti Hajar menyampaikan sijil MBOR kepada Mohd Zamri.

Sijil MBOR disampaikan oleh wakil MBOR, Siti Hajar Johor kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPKT, Datuk Mohd Zamri Mat Zain sebagai simbol pengiktirafan pencapaian tersebut.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, HCM 2025 turut mencatat kutipan sebanyak 6,462 tan metrik sisa pepejal dari seluruh negara meliputi sisa plastik, sisa kebun, kayu dan kertas, tekstil serta pelbagai jenis sisa lain.

Pengumpulan kesemua sisa tersebut dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan syarikat konsesi pembersihan terlibat.

Kor Ming berkata, HCM 2025 melibatkan penyertaan meluas daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, PBT, institusi pendidikan, komuniti setempat, syarikat pembersihan seperti SWM, pemaju perumahan seperti PR1MA dan SPNB, industri, syarikat swasta serta badan bukan kerajaan menjadikannya sebagai gotong royong terbesar negara.

Ujarnya, program itu dilihat sebagai kemuncak agenda nasional dalam memupuk budaya kebersihan dan kelestarian alam sekitar, seiring dengan aspirasi membentuk Malaysia yang bersih dan lestari.

Ringkasan AI

  • KPKT berjaya mencipta dua rekod baharu dalam MBOR sempena HCM 2025
  • Rekod mencakupi Penyertaan Gotong Royong Teramai dan Pengumpulan Minyak Masak Terpakai Terbanyak Dalam Satu Hari
  • HCM 2025 menarik penyertaan 100,817 peserta di seluruh negara, memecahkan rekod tahun sebelumnya
  • Sebanyak 27,679.31 kilogram minyak masak terpakai bernilai hampir RM80,000 terkumpul melibatkan penyertaan dari 10 negeri
  • HCM 2025 turut mencatat kutipan 6,462 tan metrik sisa pepejal dari seluruh negara meliputi sisa plastik, kayu dan kertas, serta tekstil

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!