Tukar nama Port Dickson buat pelancong luar keliru - MOTAC

SEREMBAN - Cadangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menukar nama baharu bagi sesetengah tempat termasuk Port Dickson dikuatiri boleh menjejaskan sektor pelancongan di kawasan itu.
Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, nama baharu akan membuatkan pelancong terutamanya dari luar negara menjadi keliru kerana beranggapan ia destinasi baharu, sedangkan sudah lama wujud.
Menurutnya, banyak perkara lain lebih penting yang perlu diberikan perhatian berbanding menukar nama sesuatu destinasi.
"Dari aspek pelancongan bagi pandangan saya kalau nak tukar nama itu tak perlulah.
"Banyak lagi perkara penting yang boleh dibuat. Nanti pelancong dari negara luar jadi keliru pula kerana fikir itu destinasi baharu dan mereka tak berminat pergi, sedangkan ia sudah lama wujud," katanya ditemui pemberita pada Program Libat Urus MOTAC bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Sembilan di sini, malam Isnin.
Beliau berkata demikian mengulas cadangan beberapa NGO menukar nama baharu kepada sesetengah tempat termasuk nama Port Dickson bagi menghapuskan nama-nama peninggalan penjajah.
Bagaimanapun King Sing berkata, terpulang kepada kerajaan negeri untuk menilai cadangan tersebut dan sekiranya tiada keperluan, perlu dipertahankan nama sedia ada.
"Walaupun kita boleh maklumkan pertukaran nama tersebut di media sosial, bukannya semua orang baca pun," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun membidas beberapa NGO yang didakwa berusaha menukar nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga bagi menyahkan identiti peninggalan penjajah Inggeris.
Beliau dilaporkan berkata, pihak berkenaan seharusnya bersikap terbuka terhadap nama Port Dickson yang mempunyai identiti tersendiri dan sudah dikenali ramai.
Ringkasan AI
- Cadangan mengganti nama Port Dickson oleh beberapa NGO dikhawatirkan akan menjejaskan sektor pelancongan
- Nama baru boleh membuatkan pelancong, terutama dari luar negara, berasa keliru kerana menganggap ia destinasi baru
- Menteri Pelancongan Seni dan Budaya menyatakan terdapat banyak perkara penting lain yang perlu diberi perhatian daripada mengubah nama destinasi
- Cadangan pertukaran nama itu bertujuan untuk menghapuskan nama-nama peninggalan penjajah
- Kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menilai cadangan tersebut dan nama sedia ada sepatutnya dipertahankan jika tiada keperluan untuk berubah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

