Malaysia Book of Records iktiraf Jualan Rahmah 56 jam tanpa henti

SUNGAI PETANI - Program Jualan Rahmah Madani yang berlangsung selama 56 jam tanpa henti di sini berjaya mencatatkan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori 'Longest Non-Stop Government Community Sale'.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, rekod tersebut dicatatkan sempena Karnival KPDN Zon Utara dan Kempen Beli Barangan Malaysia 2025 yang berlangsung di Dataran Amanjaya Mall bermula 26 hingga 28 September 2025.
Menurutnya, program jualan selama 56 jam tanpa henti itu telah mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai dengan lebih 60,000 pengunjung hadir memanfaatkan tawaran harga barangan berpatutan.
"Lebih 100 jenis produk ditawarkan termasuk minyak masak peket, gula, tepung, barangan dapur serta produk penjagaan diri.
"Rata-rata pengunjung meluahkan rasa syukur kerana berpeluang membeli barangan keperluan pada harga lebih rendah sekali gus meringankan beban perbelanjaan harian dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Muhammad Nizam, inisiatif itu bukan sahaja bertujuan menggalakkan sokongan kepada produk tempatan malah memperkukuhkan ekonomi negara.
Beliau berkata, kejayaan ini turut mendapat kerjasama strategik beberapa pasar raya yang menjadi rakan pelaksana utama sepanjang program berlangsung.
Katanya, majlis penyampaian sijil pengiktirafan oleh MBOR turut disaksikan Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan KPDN, Adiratno Che Ani yang hadir memeriahkan acara penutup.
Jelas beliau, pengiktirafan tersebut merupakan pencapaian penting bagi KPDN dan seluruh rakan strategik, sekali gus mengangkat Program Jualan Rahmah Madani ke tahap yang lebih tinggi dalam usaha membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Ringkasan AI
- Program Jualan Rahmah Madani mencatat rekod MBOR untuk 'Longest Non-Stop Government Community Sale'
- Berlangsung selama 56 jam tanpa henti di Dataran Amanjaya Mall dari 26 hingga 28 September 2025
- Menerima kunjungan lebih 60,000 pengunjung dengan lebih 100 jenis produk ditawarkan
- Inisiatif ini bertujuan menggalakkan sokongan produk tempatan dan memperkukuhkan ekonomi negara
- Pencapaian ini merupakan kerjasama strategik dengan beberapa pasar raya dan penting dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

