BUDI95: 'Sangat memudahkan, tak perlu lagi beratur di kaunter'

GEORGE TOWN - Pasukan keselamatan yang terlebih dahulu menikmati subsidi petrol melalui program Budi Madani RON95 (BUDI95) berpuas hati dengan kelancaran proses pembelian minyak bersubsidi RON95 yang bermula hari ini.
Koperal Jonathan Anak Philip, 34, berkata, sistem baharu yang diperkenalkan itu memudahkan urusan mereka ketika bertugas.
"Sangat cepat dan mudah, hanya masukkan kad pengenalan sahaja.
"Tidak perlu ke kaunter, dalam dua minit sudah selesai walaupun saya hanya mengisi RM5 menggunakan kad debit," katanya ketika ditemui pemberita di Stesen Shell di Jalan Masjid Negeri di sini pada Sabtu.
Bagi Koperal Mohd Affendi Abu, 37, pula, penggunaan sistem itu lebih menjimatkan masa kerana prosesnya singkat.
"Saya sangat berpuas hati. Prosesnya hanya mengambil masa sekitar seminit dengan menggunakan kad debit bank. Senang dan cepat," katanya.
Sementara itu, Konstabel Azizi Adnan, 32, turut berkongsi pengalaman positif apabila menikmati harga subsidi.
"Sistem ini sangat memudahkan, tidak perlu lagi beratur di kaunter.
"Saya isi RM3 sahaja dan harga subsidi menjimatkan hampir separuh perbelanjaan petrol," katanya.
Bermula hari ini, kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter menerusi inisiatif BUDI95.
Golongan berkenaan merupakan kumpulan pertama menikmati subsidi petrol itu selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 September lepas mengenai sistem subsidi bersasar petrol RON95 yang diberi secara berperingkat kepada rakyat.
Selepas anggota tentera dan polis, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang merupakan golongan B40 pula akan menikmatinya pada 28 September, diikuti 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif pada 30 September ini.
Anwar sebelum ini berkata, semua warganegara, tanpa mengira tahap pendapatan, yang mempunyai lesen memandu aktif akan layak menikmati manfaat BUDI95 secara automatik.
Ringkasan AI
- Pasukan keselamatan sangat berpuas hati dengan sistem pembelian minyak bersubsidi RON95 yang mudah dan cepat
- Penggunaan sistem baharu hanya memerlukan kad pengenalan tanpa perlu ke kaunter dan prosesnya sangat singkat
- Anggota tentera dan polis adalah golongan pertama yang menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter
- Inisiatif BUDI95 ini diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan merupakan bagian dari sistem subsidi bersasar
- Selepas anggota tentera dan polis, golongan B40 dan kemudian 16 juta warganegara Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif akan menikmati subsidi ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
